Tarbiah Daily
Tarbiah Daily
February 14, 2025 at 07:32 AM
*#tadabur al-Qur'an - Sabar Akan Membuka Lebih Banyak Pintu Kefahaman* Walaupun saban minggu kita menelaah surah al-Kahfi, seakan-akan tidak dapat move on dari pelbagai pelajaran yang tersurat dan tersirat. Antaranya dalam pengkisahan rehlah ilmiah Nabi Musa berguru dengan hamba Allah yang soleh, Nabi Khidr. Antara pengajarannya, tentu sahaja sabar dalam proses menuntut ilmu, sabar untuk ditarbiyah. Walaupun Nabi Musa berjanji untuk tidak bertanya, taat dan tidak gopoh namun setiap kali memerhatikan gelagat sang guru ia tidak dapat menahan dirinya untuk bertanya. Sekali dan dua kali, ia diberi peluang lagi. Kali ketiga tidak dapat menahan dirinya akan "keanehan" Nabi Khdir, dia bertanya lagi dan akhirnya sesi pembelajaran telah tamat. Ucapan perpisahan dari Nabi Khidr: { قَالَ هَٰذَا فِرَاقُ بَيۡنِي وَبَيۡنِكَۚ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأۡوِيلِ مَا لَمۡ تَسۡتَطِع عَّلَيۡهِ صَبۡرًا } [Surah Al-Kahf: 78] Ia menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. Justeru hanya 3 perjalanan dan perlakuan sahaja yang sempat ia perhatikan dari sang guru. Jika Nabi Musa bersabar dan berpegang pada janji pasti lebih banyak yang dapat dipelajari. Namun pasti ia berlaku dalam perancangan dan tadbir ilahi yang penuh hikmah. Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan satu hadis yang panjang berkaitan rehlah ilmiah ini seperti mana juga dalam surah al-Kahfi. Hadis ini dimasukkan dalam Kitab Ilmu dalam Sahih Bukhari. Di penghujungnya kita naqalkan: قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ يَرْحَمُ اللَّهُ مُوسَى، لَوَدِدْنَا لَوْ صَبَرَ حَتَّى يُقَصَّ عَلَيْنَا مِنْ أَمْرِهِمَا ‏"‌‏.‏ Rasulullah saw bersabda, "Semoga Allah merahmati Musa as, kita sangat berharap kalaulah beliau bersabar nescaya Allah akan menceritakan perihal keduanya." Masha Allah. Betapa sabar akan membuahkan lebih banyak pengalaman, pelajaran dan pedoman. Andai sahaja beliau bersabar. Namun itulah lumrah jiwa muda. Ia gagal mengekang dirinya. Maka saudaraku, Bersabarlah di jalan tarbiyah ini yang mendidik kita segenap ilmu kehidupan. Tarbiyah tidak pernah berhenti melainkan kita yang berhenti. Tarbiah Daily Tiada Hari Tanpa Tarbiah https://t.me/tarbiahdaily
❤️ 14

Comments