Tarbiah Daily
February 22, 2025 at 11:20 PM
*Akhlak Adalah Dakwah Yang Memukau*
Sekali lagi proses pertukaran tawanan perang yang dikelola oleh pejuang alQSM menarik mata dunia apabila salah seorang daripada tentera zionis mengucup dahi perwira alQSM.
Peristiwa ini mengingatkan kita 2 rakan penjara Nabi Yusuf yang tampil menceritakan mimpi mereka kepada Nabi Yusuf untuk dita'wil maksudnya.
Mereka menceritakan secara sukarela perkara yang sulit dan persendirian itu kerana terpesona dengan akhlak Nabi Yusuf.
{ وَدَخَلَ مَعَهُ ٱلسِّجۡنَ فَتَيَانِۖ قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّيٓ أَرَىٰنِيٓ أَعۡصِرُ خَمۡرٗاۖ وَقَالَ ٱلۡأٓخَرُ إِنِّيٓ أَرَىٰنِيٓ أَحۡمِلُ فَوۡقَ رَأۡسِي خُبۡزٗا تَأۡكُلُ ٱلطَّيۡرُ مِنۡهُۖ نَبِّئۡنَا بِتَأۡوِيلِهِۦٓۖ إِنَّا نَرَىٰكَ مِنَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ }
[Surah Yūsuf: 36]
Abdullah Muhammad Basmeih:
Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur ". Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan".
**
Peristiwa unik ini berlaku kerana mereka memandang Nabi Yusuf sebagai orang yang berbuat baik.
إِنَّا نَرَىٰكَ مِنَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
Sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang berbuat kebaikan
Sebagaimana penjenayah yang terpenjara boleh terpesona dengan akhlak,
begitulah juga tahanan perang yang datang dari kelompok zionis pun akhirnya tewas dan terpikat dengan akhlak & budi pekerti wira-wira alQSM.
Hebatnya aura akhlak. Ia memikat. Ia menawan. Ia menyebabkan penjenayah perang turut jatuh cinta.
Wira-wira alQSM adalah Yusuf di zaman ini. Mereka telah menunjukkan kepada kita bagaimana kuasa akhlak menggerakkan dunia.
Hari ini umat islam kering dari akhlak kerana memiliki iman yang tidak hidup dan menggerakkan.
Akhlak hanya tinggal di mushaf al-Quran, dalam kitab hadis dan dalam perbincangan tasauf.
Semoga adegan di pentas pertukaran tawanan perang ini menggerakkan iman kita semua untuk kembali kepada akhlak islam yang indah, menawan dan menggerakkan.
Tarbiah Daily
Tiada Hari Tanpa Tarbiah
https://t.me/tarbiahdaily
❤️
👍
🙏
22