Info Politik UMNO PG
Info Politik UMNO PG
February 1, 2025 at 03:28 PM
*Sekolah Bangsa Johor bermula 17 Februari, 212 guru jalani latihan di Singapura* JOHOR BAHRU, 1 Februari – Seramai 212 guru telah dihantar menjalani latihan secara berperingkat di National Institute of Education (NIE), Singapura, sebagai persediaan pelaksanaan Sekolah Bangsa Johor di empat sekolah rintis yang akan bermula pada 17 Februari ini. Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, berkata latihan ini tidak hanya tertumpu kepada guru mata pelajaran tertentu, tetapi merangkumi semua guru di sekolah terbabit bagi memastikan mereka memahami sepenuhnya hala tuju pendidikan negeri Johor. "Latihan untuk guru-guru telah disusun sejak tahun lepas, bermula pada bulan November dan Disember. Pada 10 Februari ini, kumpulan seterusnya akan dihantar ke Singapura untuk mengikuti latihan tambahan. "Seramai 212 guru terlibat, dan latihan ini tidak hanya tertumpu kepada guru sains atau matematik sahaja, tetapi kepada semua guru agar mereka selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor dalam memperkasa pendidikan negeri ini," katanya. Aznan turut menjelaskan bahawa tumpuan turut diberikan kepada penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan guru. "Kerajaan Negeri Johor telah menetapkan standard tertentu, dan atas sebab itu, guru-guru kita dihantar ke NIE Singapura untuk menjalani latihan sehingga mencapai tahap Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) C1, iaitu tahap tertinggi bagi guru bahasa Inggeris di negeri ini," tambahnya. Berita penuh di https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/212-guru-jalani-latihan-di-singapura-sekolah-bangsa-johor-bermula-17-februari?fbclid=IwY2xjawIK_0BleHRuA2FlbQIxMQABHagg-U4ftKIbzjhtpKg3QvoywQ8-T_683qeav37lpCnvzs7ZHGE_jZG8Ow_aem_gxep_OP3IMIICf45WkSqWg

Comments