Tarbiah Daily
Tarbiah Daily
June 6, 2025 at 11:14 AM
,Mimpi Sayu Ibrahim As Diperintah Mengorban Anak ... Pengajaran Abadi Untuk Umat Manusia *** Kisah yang masyhur dan diabadikan dalam surah al-Saffat ini sentiasa diulang-ulang, memang sewajarnya begitu. Secara ringkasnya, setelah Ibrahim AS dikurniakan anak yang bersifat "halim" iaitu tenang, cerdas dan santun, anak itu mula membesar. Isma'il nama diberi, setelah Isma'il mula memasuki usia remaja yang membolehkannya untuk melakukan perusahaan (فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ), Ibrahim RA mendapat perintah tuhan melalui mimpi. Mimpi Nabi adalah wahyu. Mimpi Ibrahim AS jelas sehingga sewaktu memberitahu anak kesayangannya, Isma'il, baginda menggunakan perkataan ( إِنِّي أَرَىٰ) yang bermaksud "saya benar-benar melihat", malah jelasnya seolah-olah "sedang melihat" dalam bentuk masa sekarang. Setelah menyebut mimpi itu, Ibrahim bertanya pendapat anakandanya. Sesuai dengan sifat "halim" yang diperi al-Quran sebentar tadi, Isma'il menjawab dengan tenang supaya bapanya melakukan perintah tuhan itu. Kedua-dua insan mulia ini sudah "aslam" atau tunduk patuh dan menyerah dengan keputusan tuhan. Lantas Isma'il dibaringkan oleh bapa yang mengasihinya untuk dikorbankan. Lulus! Ibrahim AS dan anakandanya lulus ujian agung ini. Serentak saat Isma'il dibaringkan itu, Ibrahim AS terus diseru "Wahai Ibrahim," baginda telah membenarkan wahyu berupa mimpi itu, membuktikan kepatuhan tanpa syarat kepada tuhan. Ujian ini disebut dalam ayat seterusnya sebagai (الْبَلَاءُ الْمُبِينُ) yang bermaksud ujian yang nyata. Bukan sekadar kerana ujian ini terang lagi bersuluh adalah ujian besar bagi sesiapa jua yang mendengar atau membacanya. Malah, ujian ini juga nyata (mubin) kerana keimanan dan kepatuhan Ibrahim bertambah nyata. Ujian nyata yang membuktikan keimanan nyata. Isma'il digantikan dengan satu sembelihan yang besar. Nama Ibrahim AS pula diabadikan dengan pujian yang baik kepada orang yang datang selepasnya. Dalam ruang yang singkat ini, ada beberapa pengajaran yang sesuai dikongsikan: 1. Kisah Ibrahim AS dan Isma'il itu berkait dengan sikap reda dengan keputusan tuhan. Reda itu tentunya lahir daripada keyakinan bahawa Allah Maha Baik dan segala tindakan-Nya punya kebijaksanaan. Reda itu menjadikan mereka tenang, lalu selepas lulus ujian itu, mereka digantikan dengan sembelihan yang besar. Nama Ibrahim AS juga harum dalam kalangan semua yang datang selepas baginda. Reda dengan ujian dan bersangka baik kepada tuhan akan melahirkan keajaiban. 2. Ibrahim AS tidak terus meluru untuk mengorbankan anak baginda. Sebaliknya, baginda bertanya, "Apa pandanganmu?" Ada pengajaran penting dalam pelaksanaan Syariat, iaitu syura. Meskipun sudah jelas arahan, tetapi apabila melibatkan pihak lain, ada ruang untuk dibuka perbincangan. Imam al-Thartushi berkata: “Keputusan yang telah ada tidak menghalang untuk kamu melakukan syura, tidakkah anda melihat tindakan Nabi Ibrahim apabila baginda diarahkan menyembelih anaknya. Kesopanan dan susila mendorong mereka mengajukan pertanyaan kepada anaknya” Qadi Badruddin bin Jamaah pula berkata: “Musyawarah (mesyuarat) adalah tradisi para nabi sehinggakan Nabi Ibrahim tidak meninggalkannya walaupun telah diarahkan menyembelih anaknya.” Pengajaran syura ini jarang disebut orang. Tetapi itulah juga teladan Nabi Ibrahim AS. Anaknya difahamkan dan diyakinkan terlebih dahulu dengan perintah tuhan, kemudian ditanya pandangannya. Ini juga teladan pendidikan anak-anak, ada konsep syura juga dalam berkeluarga, selain penting dalam membangun ketamadunan. 3. 'Abdul Rahman al-Kawakibi membawa pengajaran menarik daripada peristiwa ini, iaitu peristiwa ini menolak amalan mengorbankan manusia yang berlaku dalam sejarah manusia. "Manusia hidup dalam tempoh umur yang panjang dengan berlazat-lazat memakan daging manusia lain dan merasai darah mereka. Keadaan ini berterusan sehinggalah para filsuf di China dan kemudian di India berjaya membatalkan amalan memakan daging manusia secara keseluruhannya yang dilakukan untuk mencegah manusia daripada memakan sesama mereka. Pembatalan ini berlangsung sehingga sekarang. Kemudian, datang ajaran-ajaran agama awal di Asia Barat yang mengkhususkan hanya tawanan perang sahaja yang boleh dimakan manusia. Seterusnya, hal tersebut dikhususkan kepada manusia yang menjadi korban yang dinazarkan untuk Tuhan. Mereka disembelih oleh para pendeta. Selepas itu, amalan memakan manusia dihapuskan dan ia digantikan pula dengan mengorbankan manusia ke dalam api. Begitulah, secara perlahan-lahan, manusia melupakan kelazatan daging saudara mereka sendiri. Manusia tidak akan melupakan ritual menumpahkan darah manusia jika bukan kerana Nabi Ibrahim AS –selaku shaykh para nabi– yang telah menggantikan korban manusia dengan korban haiwan." Cuma, pemerhatian al-Kawakibi ini masih perlu disemak dalam sejarah amalan korban sepanjang perkembangan tamadun manusia. 4. Saya melihat peristiwa ini juga menunjukkan sikap rahmat tuhan dalam pensyariatan, iaitu Dia tidak mengarahkan manusia dengan perkara yang memudaratkan mereka. Pengorbanan manusia tidak diteruskan dalam peristiwa ini, sebaliknya itu adalah ujian agung kepada Nabi agung, Ibrahim AS dan anakanda baginda. Syariat tidak diturunkan untuk mengorbankan manusia, tetapi memelihara kehidupan manusia dengan menurunkan panduan wahyu untuk hidup dengan cara terbaik. Lebih-lebih lagi syariat Nabi Muhammad SAW yang disifatkan dalam surah al-A'raf sebagai i. mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. ii. menghalalkan untuk mereka setiap sesuatu yang dapat diterima oleh naluri manusia, dan mengharamkan setiap yang ditolak oleh naluri manusia. iii. Allah juga menghilangkan segala beban dan kesulitan yang ditanggung umat sebelum baginda. Kredit Ust Marwan Bukhari https://whatsapp.com/channel/0029Va18jUO6hENrEdpcmY2u
❤️ 👍 20

Comments