
Gerakan Pengundi Sedar
June 5, 2025 at 08:09 AM
“Padahal secara jelas ia tidak akan terkesan dan penduduk yang asal, kekal. Itu semua jaminan dan semua itu jauh lebih baik,” kata PMX mempertahankan rancangan pembangunan semula bandar melalui RUU Pembangunan Semula Bandar.
Apakah kayu ukur jauh lebih baik tu? Adakah hanya keluasan rumah dan bilangan bilik?
PMX menafikan bahawa usaha pembangunan semula kawasan perumahan bandar akan meminggirkan orang Melayu. Katanya penduduk asal akan kekal dan menolak dakwaan kononnya pembangunan semula ini merampas tanah orang Melayu sebagai tidak berasas. Beliau juga mengkritik mana-mana pihak yang menggunakan isu kaum dan agama untuk menyerang inisiatif kerajaan dalam menyelesaikan masalah perumahan rakyat.
Benar, penduduk mungkin kekal secara teori. Tapi sejarah dan pengalaman lepas menunjukkan realiti jauh berbeza.
Ramai penduduk asal rumah kos rendah akhirnya hilang hak milik apabila unit baru yang dijanjikan terlalu mahal atau dijual kepada pelabur. Pemilik asal pula terpaksa menyewa semula kerana tidak mampu menampung kos kehidupan di kawasan yang telah ‘dinaik taraf’. Lebih membimbangkan, banyak unit akhirnya disewakan kepada warga asing. Maka, semangat kejiranan hancur, dan komuniti yang dulunya saling kenal serta menjaga kawasan kini semakin berkurang.
Di Pulau Pinang misalnya, unit rumah kos rendah yang sepatutnya milik rakyat tempatan telah berakhir sebagai rumah sewa kepada warga asing. Ini menunjukkan wujud kegagalan dasar di peringkat pelaksanaan dan pemantauan.
Jika benar matlamat kerajaan ialah untuk membantu golongan miskin bandar, maka pengalaman silam harus dijadikan iktibar. Banyak flat kos rendah yang dibangunkan semula tidak dilengkapi fasiliti asas seperti tiada dewan, tiada padang permainan, tiada surau, tiada tempat jagaan anak, dan tiada pengangkutan awam yang memadai.
Ini bukan dakwaan kosong. Ia adalah pengalaman langsung bekas wartawan The Star yang kini menjadi Ahli Majlis MBPJ. Beliau sendiri pernah menyertai lawatan penilaian kawasan perumahan yang menyaksikan betapa lemahnya struktur fasiliti dan semangat kejiranan dalam banyak kawasan flat kos rendah.
Puncanya, tiada pemaju sanggup menanggung kos membina kemudahan sosial kerana ia tidak membawa pulangan. Mereka hanya kira untung poket sendiri bukan kebajikan komuniti. Sebab itulah rumah baru yang dibina ada sekali pusat membeli-belah. Barulah komersial dan ada hasil. Disebabkan itu, masalah sosial seperti kekotoran kawasan, remaja terbiar, dan konflik antara kaum akan kembali dan berulang. Bila struktur sosial tidak dibina, tidak ada pembangunan yang boleh dikatakan berjaya.
PMX juga menasihati agar isu ini tidak dijadikan isu kaum. Tetapi komuniti Melayu bandar adalah antara yang paling terkesan dengan pembangunan semula seperti ini. Kampung Baru, Flat Keramat, Kampung Datuk Keramat, dan banyak lagi kawasan Melayu tradisi yang berada dalam senarai ‘berpotensi untuk pembangunan semula’. Bila pembangunan berlaku tanpa jaminan struktur sosial dan pemilikan dikekalkan, bukan saja hilang rumah malah identiti asal yang sebati dengan cara hidup orang Melayu turut lenyap.
Dalam masyarakat Melayu-Islam, tanah bukan sekadar ruang fizikal. Ia adalah simbol kuasa dan akar budaya. Dari tanah lahir masjid, surau, sekolah agama, koperasi, dan sistem sokongan sosial. Bila tanah hilang, komuniti hilang. Bila komuniti hilang, pengaruh politik turut lenyap.
Oleh itu, GPS ingin menegaskan: kami tidak menolak pembangunan. Kami faham keperluan membaik pulih perumahan lama. Tapi kami menolak pembangunan yang membelakangkan sejarah dan suara komuniti. RUU PSB tidak boleh diluluskan semata-mata atas janji akan beri unit rumah baru. Jika masalah pemilikan, fasiliti dan komuniti tidak ditangani secara struktur, maka kita sedang mengulangi kegagalan yang sama. Cuma bezanya kali ini, ia disahkan dengan kuasa undang-undang.
Kerajaan perlu buktikan bahawa mereka belajar dari kegagalan lepas, bukan menyembunyikannya dengan kata-kata manis, dapat ‘rumah yang lebih baik’.
.
.
Ikuti media sosial GPS
https://t.me/pengundisedar
#gerakanpengundisedar
