
Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin UiTM Shah Alam
June 19, 2025 at 02:11 PM
[ #lensabhei: MAJLIS HULURKAN SALAM AIDIL ADHA 2025 ]
19 Jun 2025 (Khamis) – Bahagian Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Bank Rakyat hari ini telah menganjurkan Majlis “Hulurkan Salam Aidil Adha 2025” bertempat di Dewan Solat Tambahan, Masjid UiTM Shah Alam.
Majlis yang bermula pada jam 2.30 petang itu disambut dengan kehadiran lebih 300 tetamu termasuk warga universiti, pelajar, wakil-wakil jabatan serta komuniti setempat. Program ini bertujuan menyemai semangat pengorbanan dan keprihatinan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, selain memperkukuh hubungan silaturahim antara institusi, pihak korporat dan masyarakat.
Majlis diserikan dengan ucapan oleh YBhg. Tuan Haji Khuzaini AB Ghani, Pengarah Wilayah Tengah Bank Rakyat yang menegaskan komitmen Bank Rakyat dalam memperkasakan komuniti melalui program tanggungjawab sosial korporat.
Ucapan turut disampaikan oleh YBhg. Profesor Dr. Amer Shakir Zainol, Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa), UiTM yang menyatakan penghargaan atas kerjasama strategik yang terjalin antara sektor pendidikan dan korporat.
Antara pengisian utama majlis termasuklah penyampaian bantuan kepada pelajar asnaf, penyerahan daging korban kepada peserta dan wakil jabatan serta penyerahan simbolik Mock Cheque daripada pihak Bank Rakyat. Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada para tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan.
Program kemuncak disempurnakan dengan jamuan ringan dan berakhir sekitar jam 4.00 petang dalam suasana mesra dan penuh kesyukuran. Majlis ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat dalam menyantuni golongan yang memerlukan, sejajar dengan nilai-nilai murni yang dibawa oleh sambutan Aidiladha.
Sekian, wassalam.
https://www.facebook.com/share/p/18tckha3WD/