Cereka

Cereka

291.4K subscribers

Verified Channel
Cereka
Cereka
January 30, 2025 at 03:11 PM
*Hikaru Bulan Berdarah* _oleh Dinnaz_ _Kyoto, 1560-an._ “Tugas kau mulai hari ini adalah untuk melindungi Oichi,” arah Daimyo Matsunaga kepada Hikaru. Hikaru, seorang samurai kelas rendah yang setia kepada tuannya, hanya mengangguk tanpa banyak bicara. Pandangan Hikaru beralih ke arah seorang wanita yang turut berada di ruangan itu. Oichi kelihatan cantik berbusana kimono furisode dengan lengan baju yang panjang. Pakaian itu menandakan bahawa dia masih belum berkahwin. Hikaru tahu bahawa Oichi merupakan adik perempuan kepada daimyo terkenal iaitu, Oda Nobunaga, dan dia telah dihantar ke wilayah Matsunaga untuk mengukuhkan perikatan politik melalui perkahwinan. Namun, siapa sangka bahawa wanita itu tidak menginginkan semua ini menyebabkan dia akhirnya melarikan diri. “Cari dia!” Hikaru menerima arahan keras daripada Daimyo Matsunaga. Wajahnya kelihatan bengis. Penat berhempas-pulas, Hikaru akhirnya menemukan Oichi di sebuah kuil terpencil. Riak wajah wanita itu jelas sarat akan kepenatan dan kesedihan. “Aku tahu kau dihantar untuk membawaku kembali,” kata Oichi dengan suara perlahan. “Tetapi, aku tidak akan kembali. Bunuh aku jika perlu.” Hikaru hanya memandangnya, lantas mengambil tempat di sebelah wanita itu. Ada sesuatu yang menyuruhnya untuk merahsiakan keberadaan wanita itu, walhal Oichi ialah bakal isteri kepada tuannya. Hikaru yang menghabiskan masa bersembunyi di situ bersama Oichi selama beberapa minggu, merasakan satu perasaan yang baharu, iaitu cinta. Namun, kebahagiaan mereka tidak bertahan lama. Berita mengenai Kyoto yang telah dikuasai sepenuhnya oleh Oda Nobunaga, tiba ke pendengaran mereka. Oichi harus kembali, atau Nobunaga akan menghancurkan Matsunaga. Hikaru kini terperangkap dalam dilema yang tidak tertanggung, iaitu antara melindungi tuannya atau mempertahankan wanita yang dicintai. Oichi menggenggam tangan Hikaru. “Hikaru, aku harus kembali, dan... kau juga.” Malam itu, di bawah bulan merah yang terang, mereka berpisah. Hikaru kembali kepada Matsunaga untuk menghadapi pertempuran akhir, sementara Oichi kembali ke sisi abangnya. Bulan merah yang terpancar terang di dada langit seakan memberikan petunjuk mengenai perkara buruk yang akan terjadi pada hari itu. Saat Oichi menerima berita mengenai Hikaru yang tumpas di medan perang, dia jatuh terduduk. Hatinya sarat dengan kesedihan, tetapi dia memegang janji mereka untuk bertemu semula di kehidupan lain. Ketika itu, cinta mereka tidak akan lagi dihalang oleh takdir dan kehormatan.
❤️ 😢 👍 😮 🙏 😂 😭 🖕 🔥 🗿 372

Comments