
Cereka
291.4K subscribers
Verified ChannelAbout Cereka
Cerita fiksyen pendek terus melalui WhatsApp! Kisah baharu ditambah setiap hari. ⚡️⚡️
Similar Channels
Swipe to see more
Posts

*Roda* _oleh A-RAinSH_ Mereka kata, hidup itu seperti roda. Terkadang kita di atas, kadang kita di bawah. Pernah aku berfikir, macam mana kalau kita hentikan roda itu ketika kita di atas? Bukankah kita akan selamanya di atas? Ah, mengarut! Kita hidupan yang bersifat. Kita dicipta untuk berevolusi. Tidak mungkin takdir dapat dihentikan seperti roda. *** Di hadapanku terdapat sebuah merry-go-round. Berkarat sudah ia disebabkan tidak dijaga bertahun lamanya. Taman ini sudah lama ditinggalkan dek masalah-masalah yang disembunyikan oleh pihak pengurusan. Sengaja aku berjalan di taman yang agak besar ini untuk menghidu udara yang telah lama aku rindukan. Masih segar dalam ingatan, dulu aku selalu bermain di atas roda ini. Aku tersengih apabila mengingati masa lampau. Tiba-tiba, tatkala aku berpaling membelakangi merry-go-round, ia mula berpusing. Aku fikir, mungkin kerana angin, tetapi tiada angin yang lalu. Lagi pula, ia telah lama berkarat membuatkannya susah untuk berpusing. Suara seorang budak kecil mula kedengaran seolah dia sedang bermain di atas roda itu. Aku bingung. Aku berpaling ke arah merry-go-round itu secara perlahan-lahan. Rasa takut mula menyelubungi lohong jiwa, tetapi aku ingin melihat. Sebaik sahaja aku berpaling, aku melihat…. *** Di hadapanku terdapat sebuah merry-go-round. Berkarat sudah ia disebabkan tidak dijaga bertahun lamanya. Taman ini sudah lama ditinggalkan dek masalah-masalah yang disembunyikan oleh pihak pengurusan. Sengaja aku berjalan di taman yang agak besar ini untuk menghidu udara yang telah lama aku rindukan. Masih segar dalam ingatan, dulu aku selalu bermain di atas roda ini. Aku tersengih apabila mengingati masa lampau. Sekejap! Apa yang telah berlaku? Adakah ini deja vu? Suasana ini, aroma ini, langkah ini, sepertinya telah berlaku. Suara budak kembali bermain di telinga. Aku berpaling untuk melihat pemilik suara itu dan sebaik sahaja menoleh, aku melihat…. *** Di hadapanku terdapat sebuah merry-go-round. Berkarat sudah ia disebabkan tidak dijaga bertahun…. Tidak! Apa yang sebenarnya berlaku? Kenapa aku terbangun di titik yang sama? Sampai ke hari ini, aku masih belum menemukan jawapan atas apa yang berlaku. Kenapa ia berputar seperti roda dan kenapa aku masih di jalan yang sama? Namun, aku mempunyai satu teori. Dan teori itu membawaku kepada beberapa ranting persoalan. Mengapa? Atas sebab apa? Aku masih buntu. Tetapi setiap kali ia berputar kembali, aku mula tahu bahawa aku masih dibuai penyesalan yang tidak dapat aku lepaskan. Setiap kali ia berputar, aku belajar cara untuk meleraikan persoalan yang tersimpul. Aku mula mencari cara untuk terus hidup, walaupun ia tetap akan membawaku kepada titik permulaan yang sama. Mungkin di situlah aku harus bermula, walaupun ia permulaan untuk kali ke seratus. Pada akhirnya, mereka semua melangkah. Tetapi, tidak diriku.

*Tumpang Lalu* _oleh Vinny_xi_ Sekumpulan pelajar perempuan sedang rancak berbual di perhentian bas apabila dua orang pelajar lelaki tiba-tiba menegur mereka. “Excuse me, can I pass away?” Terus tercengang mereka semua mendengar permintaan si pelajar lelaki. “Sorry, awak nak apa?” soal salah seorang pelajar perempuan di situ. “Oh, I want pass away. Can I?” Pelajar lelaki tersebut menjawab dengan yakinnya. Kawan pelajar lelaki itu pula menahan tawa di belakangnya. Pelajar perempuan saling berpandangan dan terkebil-kebil. “Can I pass away?” Sekali lagi dia menyoal. Terus kumpulan pelajar perempuan itu menjawab serentak, “NO! You can’t pass away.” “Why? Saya nak tumpang lalu je. Ni kan jalan awam, takkan saya tak boleh lalu?” Terus kawan pelajar lelaki itu melepaskan gelak besar. Terkebil-kebil dia memandang kawannya dan kumpulan pelajar perempuan yang masih di situ. “Awak… kalau nak tumpang lalu, awak cakap je ‘excuse me’ dah cukup. ‘Pass away’ tu meninggal,” jelas salah seorang pelajar perempuan secara lembut. “Astaghfirullah! Saya tak nak mati, saya cuma nak lalu je. Tumpang lalu ya.” Terus pelajar lelaki tersebut beredar dengan muka yang merah.

*Bunyi* _oleh Khairunnisaq_ Setiap kali pulang sekolah agama jam 6.30 petang, aku akan lalu sebuah lorong yang agak suram, dan jarang dilalui orang. Aku pula jalan kaki. Bukan sebab tak ada orang nak hantar dan ambil, tapi aku memang suka jalan kaki. Sesekali, aku akan jalan bertemankan kawan-kawan, tapi lebih kerap sendiri. Saban hari, apabila aku tiba di lorong itu, akan kedengaran bunyi merdu gesekan biola. Aku tak tahu dari mana bunyi itu datang, namun ia terus-terusan melagukan melodi indah setiap hari pada waktu yang sama. Kawan aku cakap, bunyi itu datang dari rumah kosong di lorong tersebut. Ada juga yang mengatakan bahawa gesekan biola itu dimainkan oleh hantu. Jujur, merinding juga aku mendengarnya. Aku pun tak tahu sama ada nak percaya ataupun tidak. Daripada terus bersangka-sangka, aku ambil keputusan untuk tanyakan hal ini kepada ayah. “Oh, itu bukan hantu! Itu anak Uncle Chong. Dia dikurung dekat bilik yang dekat dengan lorong tu.” “Kurung? Kenapa dia kena kurung, yah?” “Ayah pun tak tahu sangat sama ada dia dikurung atau dia yang kurung diri sendiri. Tapi Uncle Chong cakap, dia yang bagi biola tu supaya anak dia tak bosan duduk situ. Dulu, dia cuma buat bunyi-bunyi bising je. Hari tu, ayah lalu situ juga. Dah sedap dia main biola.” “Ayah pernah nampak dia ke?” Ayah aku angguk. “Dulu, masa dia kecil. Muka dia… lain.” “Tapi….” “Sudah, Intan. Jangan campur urusan orang. Kita pun tak kenal sangat Uncle Chong tu.” Aku tertunduk.

*Rama Dan Syawal* _oleh Dinnaz_ Syawal duduk di tangga rumah dengan kaki terjuntai, memerhati jiran barunya yang sedang mengangkat barang dari lori. Matanya teralih pada seorang budak lelaki sebayanya yang sedang berdiri di depan rumah itu. Apabila pandangan budak itu terhala padanya, Syawal pantas melambaikan tangan. “Hei, kau nama apa?” tegur Syawal apabila budak itu berjalan menghampirinya setelah ditolak-tolak seorang wanita India. ‘Mungkin mak dia,’ fikir Syawal. “Rama,” jawab budak itu. Sekali-sekala dia menjeling pada ammanya. Wanita itu hanya tersenyum dan melambai kecil. “Rama? Wah, nama kau macam Ramadan! Kebetulan esok Ramadan!” Mendengarkan bicara Syawal, dahi Rama berkerut. “Rama… dan?” Syawal ketawa kecil. “Ramadan tu bulan puasa!” “Puasa?” tanya Rama lagi. Syawal mengangguk. “Tak makan, tak minum, tak buat benda-benda yang salah. Lepas sebulan tu, ada raya!” “Kalau tak puasa, tak boleh raya ka?” tanya Rama yang agak tertarik dengan perkataan raya itu. Dia tahu raya itu apa. Raya itu seperti Deepavali! Syawal terdiam. Dia menggaru kepalanya. Dia pun tak tahu nak jawab apa. Baru sahaja dia mahu menjawab, Rama terlebih dahulu membuka mulut. “Aku mahu cubalah itu puasa!” Syawal terkejut. “Hah? Kau nak puasa?” *** “Rama, makan dulu. Amma masak kari daging.” Walaupun Rama mendengar panggilan amma, dia hanya duduk diam di ruang tamu itu. Amma menjenguk dari pintu dapur. Hairan bila anak bujangnya tidak menyahut. Selalunya cepat sahaja Rama berlari ke dapur jika disebut tentang makanan. “Rama?” panggilnya. Rama menggeleng kepalanya. “Amma, saya puasa.” Amma menayangkan wajah terkejut. “Aiyo, puasa? Kenapa pulak?” “Sebab Rama nak raya! Jadi kena puasa!” Jawapan Rama membuatkan amma tersengih. “Kalau tak tahan, jangan paksa diri ah?” Rama mengangguk bersungguh-sungguh. “Saya mahu cuba sampai habis!” Itu kata Rama, namun apabila amma memasak vadai pada keesokan harinya, dia kalah dengan kata-kata sendiri. Maka, dia terduduk di tangga rumah itu bersama Syawal. Tangannya menekup muka, lagak seseorang yang mempunyai masalah besar. “Macam mana nak raya ni….” Syawal menepuk perlahan bahu Rama. “Janganlah risau! Abang aku kata tak puasa pun boleh rayalah! Kitakan satu Malaysia.” Rama mengangkat wajahnya pada Syawal. “Betul ka aku boleh raya?” “Mestilah! Jom, tengok mak aku buat ketupat.”

*Makanan* _oleh Ikan Pari_ Hari ini, Aidan terlewat pulang. Dia didenda membersihkan tandas lelaki kerana membawa rokok ke sekolah. Sebenarnya, Aidan telah diperangkap oleh Zaidi, ketua kumpulan budak nakal. Zaidi benci dengan sikap Aidan yang membatu sahaja apabila dibuli oleh gengnya. Pada waktu rehat, ketika semua murid pergi ke kantin, Zaidi memasukkan sekotak rokok milik ayahnya ke dalam beg Aidan selepas mendapat tahu daripada abangnya yang merupakan seorang pengawas bahawa hari itu, kelas mereka akan dikenakan spot check. Aidan hanya diam sewaktu cikgu disiplin memarahinya, dan dia langsung tidak membantah apabila diberi hukuman. Zaidi dan gengnya masih tidak puas hati, lantas mengekori Aidan sebelum mengganggunya di tepi jalan. “Woi, si batu!” jerkah Zaidi. Dia membaling segenggam batu kerikil ke arah Aidan, tapi budak lelaki itu langsung tidak menoleh dan terus berjalan. “Kau pekak ke?” Zaidi dan kawan-kawannya pantas memotong langkah Aidan. “Jangan kacau aku.” “Kau ada suara rupanya.” Zaidi menarik beg galas Aidan dan melontar beg itu ke tengah jalan raya. Tanpa diduga, Aidan menolak Zaidi dan kawan-kawannya dengan kuat hingga jatuh tergolek ke atas tanah, kemudian mengambil begnya semula. Dia berlari dari situ. “Kejar!” Berasa dipermalukan, mereka terus mengejar Aidan sehingga budak lelaki itu membelok ke sebuah rumah kosong. Zaidi berhenti di halaman depan. Dia ternampak Aidan melambai ke arah tingkap yang pecah, di mana seorang perempuan dengan wajah separuh terkoyak sedang duduk sambil tersenyum lebar. “Aku bawa makanan,” ujar Aidan ceria. Lidah wanita itu memanjang. Zaidi terkencing dalam seluar.

*Tersalah* _oleh Dinnaz_ Dua orang budak berjalan di laluan berasfalt yang sempit itu. Tiba-tiba Abu berhenti, dan memandang ke kiri kanan. Setelah pasti tiada kenderaan yang lalu di situ, dia lekas berlari, lalu mencapai sesuatu di tengah jalan. Mamat berpaling tatkala tersedar kelibat kawannya tiada di tepi. “Apa kau buat, Abu?” “Buat kebaikan.” Jawapan Abu membuatkan Mamat berkerut dahi. “Ha?” “Mak kau tak pernah cakap ke pasal kutip benda di jalan yang boleh buatkan orang cedera tu? Aku rasa ayat dia berbunyi macam ‘amalan yang baik adalah amalan yang ringkas walaupun mengutip batu di jalan’” Mamat mengangguk-angguk. Lantas, dia memegang bahu Abu. “Tak salah nak buat kebaikan, tapi macam salah je benda kau ambik tu,” kata Abu. Matanya melihat pada objek di tangan Abu. “Apa yang salah?” Abu berkerut dahi. “Itu kan duit! Apa yang bahayanya?” tanya Mamat sambil melihat pada sekeping not RM5 di tangan rakannya. “Bahayalah kalau ada orang berhenti nak ambil duit tengah jalan, kang boleh eksiden! Aku elakkan benda tu dari jadi!” jawab Abu. Mamat menepuk dahinya. Macam itu pun boleh.

*Bayangan* _oleh Dinnaz_ Khadijah, seorang ibu beranak satu sering berjaga malam sejak dua menjak ini. Itu semua kerana malam-malamnya dihantui oleh bunyi ketukan perlahan di pintu flat. Pada awalnya, dia ingin membuka pintu tersebut. Tetapi dek kerana risau akan keselamatan mereka, dia hanya membiarkannya sahaja. Hari ini, ketukan itu hadir lagi pada waktu yang sama, seolah-olah memanggilnya. “Aina, sayang… tidur ya,” bisik Khadijah kepada anak kecilnya sambil menepuk paha budak itu dengan perlahan. Khadijah cuba menenangkan dirinya, tetapi semakin hari, ketukan itu semakin merisaukan. Kadangkala, dia terdengar bisikan halus menyebut namanya. Siapa? Atau lebih menakutkan, apa? Apabila dia bertanyakan perihal itu kepada Pak Jamil, jiran di tingkat atas, lelaki tua tersebut hanya mengangkat bahu. “Mana aku tahu. Aku tak ada kena pula. Kau ada buat apa-apa ke sampai kena ganggu?” soalnya, lalu terus menutup pintu rumah. Pertanyaan itu membuatkan Khadijah semakin dirundung hairan. Apa yang telah dia lakukan? Dia sendiri tidak tahu! Segalanya makin merunsingkan apabila petang itu, jiran sebelah rumah Khadijah, Kak Farah tiba-tiba memberikan peringatan yang membuatkan bulu romanya meremang. “Afiq nampak bayang-bayang manusia tak ada kepala berdiri depan pintu rumah kau, Dijah.” “Tak ada kepala?” ulang Khadijah dengan suara yang bergetar. Suatu malam, segalanya berubah apabila bunyi ketukan itu bukan hanya muncul di pintu rumah Khadijah, tetapi juga seluruh flat. Ketukan yang pada awalnya perlahan berubah menjadi hentakan. Bunyi pintu yang diketuk bertalu-talu itu memaksa kesemua penghuni flat untuk berjaga. Dan tiba-tiba.... Bumm! Tanah di bawah flat bergegar. Lantai merekah, dan serpihan tembok mulai jatuh menyembah bumi. Jeritan ketakutan menghiasi malam. Kesemua penghuni flat pantas berlari menyelamatkan diri. Khadijah memeluk Aina erat sambil berlari keluar bersama jiran-jirannya. Di luar, mereka menyaksikan flat itu runtuh, hilang dalam sekelip mata. Dalam syukur kerana semua penghuni terselamat, Khadijah terpandang ke arah reruntuhan itu. Di bawah sinaran samar lampu jalan, dia melihat bayangan ‘seseorang’ tanpa kepala berdiri sebentar di celah serpihan runtuhan. Anehnya, disebabkan gangguan dan ketukan itu, mereka semua terselamat daripada menjadi mangsa runtuhan bangunan. Bayangan itu kemudiannya lenyap bersama angin malam, seperti ‘sesuatu’ yang sudah menyempurnakan tugasnya.

*Lif* _oleh Rumie_ Ting! Pintu lif ternganga. Azana masuk. Punat nombor 8 ditekan. Lalu, pintu lif terkatup. Dia menilik jam yang terikat di tangan. 12.00 malam. “Gila punya kerja. Kalau aku ni banyak duit, dah lama aku hantar surat berhenti kerja,” rungut Azana. Dia baru pulang dari kilang tempatnya bekerja. Minggu itu dia bertugas syif petang hingga malam. Ting! Lif berhenti di tingkat empat. Tujuh orang perempuan berjubah hitam masuk. Azana merapatkan diri ke dinding. Lif kecil itu menjadi penuh. Bau setanggi keras menusuk hidung. Azana tidak selesa, tetapi dia diam sahaja. Pintu tertutup. Lif mula bergerak. Dum! Tidak semena-mena, lif berhenti. Gelap-gelemat. Kalut Azana menekan butang lif. Pintu tidak terbuka. Dia menyalakan lampu pada telefon bimbit. Butang kecemasan ditekan. Tidak lama, suara seorang lelaki muncul daripada pembesar suara. “Tolong saya. Lif tersekat!” Azana berteriak cemas. “Saya ada lihat melalui CCTV. Tak perlu takut. Saya dah hantar bantuan.” “Cepat sikit. Lif penuh. Saya takut tak boleh bernafas.” Azana menunjukkan ciri-ciri klaustrofobia. “Tapi, puan... saya lihat di sini, cuma puan seorang sahaja dalam lif tu.” Azana tergamam. Suara garau menderam dan mendengus kencang mencucuk pendengarannya. Sebaik berpaling, tujuh lembaga hitam bermata merah saga berdiri di belakangnya. Azana menjerit hingga ke puncak suara.

*Mak Dah Cakap* _oleh Nizam Wahid_ “Nak….” Lirih suara si ibu melihat anaknya yang terbaring di jalan. Panggilannya tak bersahut. “Nak....” Si anak masih tidak memberi sebarang reaksi. Dia memandang rakan-rakannya. Masing-masing masih mempamerkan riak terkejut. Si ibu yakin anaknya masih hidup. Dia mengumpul segenap kekuatan, lalu melintasi jalan itu. Beberapa kereta yang lalu sekadar menghindari mereka, langsung tidak berhenti. Dia merapati anaknya, dibelai-belai tubuh kecil yang semakin lemah. “Mak dah cakap tadi, berhati-hati bila melintas jalan….” Dia tak sanggup menghabiskan ayat itu. Ayat yang kini menunjukkan akibat perlakuan anaknya itu. Dia terus mengusap tubuh anaknya. Memandang rakan-rakan lain yang tercegat di tepi jalan. Si ibu tiada pilihan. Dia merangkul tubuh anaknya yang longlai kembali ke arah rakan-rakan yang tidak jadi menyeberang jalan. Kereta yang lalu perlahan di tempat kejadian, kembali menyambung perjalanan. Masih tiada satu pun yang berhenti. Si ibu akur dengan hakikat bahawa dia hanya seekor monyet yang sudah kehilangan anaknya kerana cuba melintas jalan raya. Tak mungkin dipedulikan. Dia kembali ke belukar untuk menangisi takdirnya.

*Culik* _oleh Intan Yuhanis_ Sebaik sahaja aku berjaya melepaskan diri dari rumah usang itu, aku berlari sepantas kilat untuk melarikan diri daripada makhluk pelik yang tinggal di sana. Sebelum ini, makhluk pelik itu sudah membunuh dan memakan ketiga-tiga orang kawan aku sehingga tulang. Tiada rembulan yang menerangi aku malam itu. Aku hanya bergantung kepada naluri sahaja. Aku sudah tidak kisah macam mana pengakhiran aku kelak, tetapi yang penting, aku dapat meloloskan diri dari rumah usang dan makhluk pelik itu. Sudah agak lama aku berlari. Barangkali sudah 30 minit, tetapi aku masih belum menemui jalan keluar. Entah sudah kali ke berapa aku pusing di tempat yang sama. Apabila aku masih gagal untuk menemui jalan keluar, aku melutut di tengah-tengah hutan yang dipenuhi dengan binatang buas dan berbisa serta serangga sebesar tapak tangan. Aku meraung sendirian terkenangkan nasib aku. Pada awalnya, aku dan kawan-kawan ke sini untuk berkhemah. Tetapi entah macam mana, pada malam itu, kami diculik oleh makhluk pelik tersebut. Apabila kami tersedar keesokan paginya, kami mendapati bahawa kami berada di sebuah rumah usang, bukan di tapak perkhemahan. Satu demi satu makhluk pelik itu memakan rakan-rakan aku. Kini, tinggal aku seorang. Aku tak mahu menjadi makanan makhluk itu. Aku tak izinkan! Tetapi nampaknya, sudah tiada jalan lain melainkan aku menyerah diri. Seperti yang dijangka, makhluk pelik itu dapat mengesan keberadaan aku melalui suhu badan aku. Aku menoleh ke belakang apabila telinga menangkap bunyi tapak kaki serta bunyi dahan-dahan pokok berdesir. “Bunuh sahajalah aku!” Aku berkata. Mata butangnya merenung aku. Badan dan kaki robotnya condong sedikit seperti dia tidak bermaya untuk berdiri tegak. Kedua-dua belah tangannya kelihatan seperti tangan binatang. Di kepalanya pula tertampal kulit manusia serta rambut yang jarang dan terpacak. Walaupun ini bukan kali pertama aku melihatnya, tetapi tekak aku tetap terasa kembang. Terasa nak muntah. “Aku bukan nak bunuh kau.” Makhluk itu menjawab. “Kau dah bunuh kawan-kawan aku. Kau dah makan kawan-kawan aku. Kau nak apa lagi daripada aku? Cakap cepat!” “Aku nak kau jadi kawan aku.”