Cereka

Cereka

291.4K subscribers

Verified Channel
Cereka
Cereka
February 12, 2025 at 11:40 PM
*Jaket* _oleh Dinnaz_ “Cantik jaket ni. Beli mana?” Suara Ainan menarik perhatianku. Aku menoleh, dan melihat dia sedang membelek jaket kulit yang aku letakkan di atas katil tadi. “Tu? Beli dekat thrift store je.” “Oh, cantik…. Pakailah waktu nak photoshoot kelas nanti.” Aku hanya tersenyum, lalu menganggukkan kepala. Memang itu tujuan aku membeli jaket ini, untuk tema old-school photoshoot kelas kami. *** Hari bergambar pun tiba. Aku menyarung jaket itu dengan perasaan teruja, tetapi tiba-tiba, semuanya gelap. Suasana di sekelilingku berubah dalam sekelip mata. Aku kini berdiri di dalam sebuah kedai usang. Di hadapanku, ada seorang lelaki memandang tepat ke arahku dengan wajah bosan. “Nak jual ke?” Aku terdiam, cuba memahami situasi ini. Pandanganku jatuh pada jaket kulit yang tersarung di badan. Kemudian, mata dilarikan ke sekeliling kedai sebelum ia terhenti pada sebuah cermin yang berada di hujung kedai. Melihat bayangan pada cermin itu, aku jadi terkaku. Wajah yang terbias di cermin itu... bukan wajahku. “Nak jual ke tak? Cepatlah!” Tangan aku secara automatik membuka, lalu menyerahkan jaket itu kepada lelaki tersebut. Sebaik dia menerimanya, pandangan aku bertukar gelap. Apabila mata dibuka, aku kembali berada di bilik tidurku. Tidak menunggu lama, jaket itu pantas kutanggalkan dari tubuh. Bersama nafas tercungap-cungap, aku memandang jaket tersebut dengan rasa seram. “Apa yang aku nampak tadi?” Tangan aku menggigil, tetapi keinginan untuk tahu lebih kuat daripada rasa takut membuatkan aku menyarung jaket itu semula. Seperti sebelumnya, pandangan aku kembali gelap. Ia membawa aku ke tempat lain. Kali ini, aku berada di sebuah lorong gelap pula. Tamparan kuat yang tiba-tiba singgah di pipiku, membuatkan aku jatuh terduduk ke atas asfalt. Rasa sakitnya terlalu nyata. “Aku dah kata, jangan keluar rumah! Kau degil!” jerit seorang lelaki di hadapanku. Dia kelihatan marah. “Tu, baju tu! Kau beli dengan duit aku, kan?” Dia merentap jaket itu kasar dari tubuhku. Sekali lagi, pandangan aku gelap, dan aku mendapati diriku kembali di bilik tidurku. Aku terduduk lemah di lantai sambil menggenggam erat jaket kulit itu. Minda aku sesak dengan pelbagai persoalan. Siapa yang aku nampak tadi? Apa yang berlaku? Jaket ni... ada sejarah apa sebenarnya?
😮 👍 ❤️ 🤔 🤨 😢 😨 🙏 🧐 😂 246

Comments