Anwar Ibrahim
February 10, 2025 at 03:01 AM
Dalam perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pagi ini, saya mengingatkan penjawat awam beragama Islam untuk bersiap sedia menyambut ketibaan bulan mulia Ramadan.
Persiapan ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi menghayati makna sebenar Ramadan yakni memperbaiki akhlak, memupuk nilai keprihatinan, dan memperkukuh kesedaran terhadap tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
Saya turut menegaskan keperluan penguatkuasaan yang tegas dalam merealisasi perubahan. Umpamanya langkah berani Menteri Wilayah Persekutuan dan DBKL mereformasi pengurusan lesen bazar Ramadan di Kuala Lumpur yang berjaya menurunkan kadar sewa untuk peniaga.
Saya menyokong penuh usaha menghapuskan amalan pemindahan lesen perniagaan yang berlarutan selama puluhan tahun, sama ada di ibu negara atau kota-kota besar lain. DBKL perlu bertindak tegas, termasuk membatalkan lesen serta-merta jika ada penyalahgunaan, agar prinsip keadilan dan ketelusan terus terpelihara.
Menyentuh persiapan Malaysia menyambut tetamu asing sempena kunjungan hormat dan persidangan ASEAN, saya tegaskan penjawat awam perlu menunjukkan keupayaan mengurus ratusan program bertaraf antarabangsa dengan cekap dan berkesan.
Komitmen tinggi daripada penjawat awam ini dapat saya saksikan sendiri semalam tatkala meninjau persiapan menyambut kunjungan sahabat saya Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan ke Malaysia.
Sekalung penghargaan buat ribuan penjawat awam yang mengorbankan hujung minggu serta bertungkus-lumus bagi menjulang nama negara.
#malaysiamadani
#madanibekerja
❤️
👍
😢
😂
🙏
86