
My #HadithTime
February 10, 2025 at 02:28 AM
SUNNAH BACA AYAT KURSI SEBELUM TIDUR
Dalam sebuah hadis, Saidina Abu Hurairah menceritakan bahawa:
Rasulullah SAW telah mewakilkan aku untuk menjaga harta zakat Ramadan. Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu dia mula mengambil segenggam demi segenggam makanan (dari harta zakat itu). Aku pun menangkapnya dan berkata: "Demi Allah, aku pasti akan membawamu kepada Rasulullah!"
Lelaki itu berkata: "Aku benar-benar dalam keadaan susah, aku mempunyai tanggungan, dan aku sangat memerlukan makanan ini." Maka aku pun merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.
Keesokan paginya, Rasulullah SAW bertanya kepadaku:
يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟
"Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan oleh orang yang kamu tangkap malam tadi?"
Aku menjawab: "Wahai Rasulullah, dia mengadu tentang keperluan yang sangat mendesak serta tanggungan keluarganya, maka aku merasa kasihan kepadanya dan aku pun melepaskannya."
Baginda SAW bersabda:
أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ، وَسَيَعُودُ
"Sesungguhnya dia telah menipumu dan dia pasti akan datang lagi."
Kerana sabda Rasulullah SAW itu, aku yakin dia pasti akan datang lagi. Maka aku pun mengintainya. Benar, dia datang lagi dan mengambil makanan seperti sebelum ini. Aku pun menangkapnya dan berkata:
"Aku pasti akan membawamu kepada Rasulullah!"
Lelaki itu berkata: "Biarkan aku pergi, aku benar-benar memerlukan makanan ini, aku mempunyai tanggungan. Aku berjanji tidak akan datang lagi." Maka aku pun merasa kasihan kepadanya dan aku melepaskannya sekali lagi.
Keesokan paginya, Rasulullah SAW bertanya kepadaku:
يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ؟
"Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan oleh orang yang kamu tangkap malam tadi?"
Aku menjawab: "Wahai Rasulullah, dia mengadu tentang keperluan yang sangat mendesak serta tanggungannya, maka aku merasa kasihan kepadanya dan aku pun melepaskannya."
Baginda SAW bersabda:
أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ وَسَيَعُودُ
"Sesungguhnya dia telah menipumu dan dia pasti akan datang lagi."
Maka aku pun mengintainya buat kali ketiga. Benar, dia datang lagi dan mengambil makanan seperti sebelum ini. Aku pun menangkapnya dan berkata:
"Kali ini aku pasti akan membawamu kepada Rasulullah! Ini sudah kali ketiga, kamu berjanji tidak akan datang lagi, tetapi kamu tetap datang!"
Lelaki itu berkata: "Biarkan aku pergi, aku akan mengajarkan kepadamu kalimah yang akan memberi manfaat kepadamu."
Aku bertanya: "Apakah itu?"
Dia berkata: "Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat al-Kursi:
اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
(Surah Al-Baqarah, ayat 255)
sehingga akhir ayat, maka kamu akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga waktu pagi."
Maka aku pun melepaskannya.
Keesokan paginya, Rasulullah SAW bertanya kepadaku:
مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟
"Apa yang dilakukan oleh orang yang kamu tangkap malam tadi?"
Aku menjawab: "Wahai Rasulullah, dia mengajarkan kepadaku kalimah yang katanya akan memberi manfaat kepadaku, maka aku pun melepaskannya."
Baginda SAW bertanya:
مَا هِيَ؟
"Apa kalimah itu?"
Aku menjawab: "Dia berkata kepadaku: Jika kamu hendak tidur, bacalah Ayat al-Kursi dari awal hingga akhir. Maka kamu akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga waktu pagi."
Maka Rasulullah SAW bersabda:
أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، تَعْلَمُ مَنْ تُخَاطِبُ مُنْذُ ثَلاَثِ لَيَالٍ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ
"Dia telah berkata benar kepadamu, walaupun dia adalah pembohong. Tahukah kamu, wahai Abu Hurairah, siapa yang kamu hadapi selama tiga malam ini?"
Aku menjawab: "Tidak."
Baginda SAW bersabda:
ذَاكَ شَيْطَانٌ
"Itulah syaitan."
(Sahih al-Bukhari, no. 2311)
Hadis ini menunjukkan beberapa pengajaran penting:
1) Kelebihan Ayat Kursi dalam melindungi seseorang daripada gangguan syaitan.
2) Sesiapa yang membaca Ayat Kursi sebelum tidur, akan mendapat perlindungan daripada Allah sepanjang malam.
3) Kejujuran syaitan dalam satu perkara tidak menghapuskan hakikat bahawa dia adalah pembohong.
4) Syaitan sering menipu dan menggunakan pelbagai helah untuk memperdayakan manusia.
5) Kepentingan mempelajari ilmu, walaupun daripada seseorang yang tidak mengamalkannya.
Semoga Allah memelihara kita dan menerima amalan kita.
=====
Subscribe YouTube @myhadithtime, klik: https://www.youtube.com/c/MyHadithTime
My #hadithtime
#rasulullahsuriteladan
❤️
👍
😮
53