
Astro AWANI
February 17, 2025 at 03:33 AM
Hari ini 57 tahun yang lalu, bangunan Angkasapuri secara rasminya dibuka.
Pembinaan bangunan Angkasapuri bermula dengan rasmi pada 16 Disember 1966 dengan upacara peletakan batu asas oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang juga merangkap Menteri Penerangan & Penyiaran ketika itu.
Bangunan setinggi 10 tingkat itu dibina di atas tanah seluas 33 ekar di Bukit Putra, Lembah Pantai berdepan Lebuhraya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Petaling Jaya, menelan kos $35 juta (dalam Dolar Malaya & Borneo British).
Ia dibina untuk menjadi ibu pejabat kekal Perkhidmatan Televisyen Malaysia (TV Malaysia) yang ketika itu berpangkalan di Dewan Tuanku Abdul Rahman (kini dikenali sebagai MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur sejak ia dilancarkan pada Disember 1963.
Bagaimanapun TV Malaysia, yang kemudian berkembang menjadi RTM, tidak memulakan operasinya di kompleks itu sejurus ia siap dibina & dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman, tetapi hanya berpindah & mula bersiaran dari Angkasapuri pada 6 Oktober 1969.
Bangunan utama Angkasapuri dengan reka bentuk unik itu menempatkan pejabat pentadbiran & perancangan penerbitan. Dewan serta studio penyiaran & rakaman pula terletak di bangunan 2 tingkat di sebelah selatan bangunan utama.
Kedua-dua bangunan utama serta bangunan penerbitan & penyiaran ini dihubungkan dengan sebuah anjung & sebuah balai sambutan, menjadikannya salah satu kompleks penyiaran yang terbesar di Asia Tenggara.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, RTM
#peristiwahariini
👍
❤️
😂
😮
11