Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim

69.9K subscribers

Verified Channel
Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
February 26, 2025 at 02:33 AM
Malaysia dan Vietnam berkongsi jaringan hubungan yang kukuh, malah terus diperkukuh dengan lonjakan baharu melalui Perkongsian Strategik Komprehensif. Ia tidak sekadar perjanjian di atas kertas, tetapi satu komitmen untuk menyemarak kerjasama dalam pelbagai sektor utama yakni perdagangan, pelaburan, tenaga hijau, teknologi digital, dan keselamatan serantau. Kita menyaksikan pertumbuhan perdagangan yang stabil, tetapi kita tidak boleh lekas berpuas hati. Malaysia melihat potensi besar dalam industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), dan ekonomi digital, dan kami bersedia untuk mempercepatkan integrasi rantaian bekalan antara kedua-dua negara. Pelabur Malaysia telah memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Vietnam, dan kami mahu melihat lebih banyak projek berimpak tinggi diterajui bersama. Dalam sektor tenaga, Malaysia telah secara serius dalam melabur dalam tenaga hijau, termasuk projek tenaga berasaskan angin di selatan Vietnam dan inisiatif besar seperti kerjasama Gentari-PETROVIETNAM. Ia adalah cerminan langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan memastikan peralihan yang lebih lestari. PETRONAS dan Petrovietnam akan mempercepat kerjasama dalam sektor tenaga di Vietnam, merangkumi aktiviti di sektor huluan dan hiliran, gas dan tenaga boleh diperbaharui. Khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, syarikat minyak kedua-dua negara ini sedang giat menggerakkan kerjasama dalam penjanaan kuasa dan sambungan grid dari Vietnam ke Malaysia. Inisiatif ini selari dengan aspirasi ASEAN Power Grid (APG) yang bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga di rantau ASEAN melalui integrasi infrastruktur tenaga. Di peringkat serantau, Malaysia menegaskan kepentingan mengekalkan kestabilan di Laut China Selatan, memastikan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, dan mempercepatkan rundingan mengenai Kod Tata Laku (COC). Dalam isu Myanmar, kita mendesak kemajuan yang nyata dan mampan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi mengelakkan krisis ini daripada terus memburuk. Malaysia percaya bahawa hubungan yang kukuh antara negara serantau adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran bersama. Kita tidak boleh sekadar melihat ke belakang, tetapi perlu melangkah ke hadapan dengan strategi perencanaan yang jelas dan tindakan yang memberi dampak positif yang nyata kepada rakyat dan ekonomi negara. Ini antara perbincangan semasa sesi sarapan pagi bersama sahabat karib saya Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam Pham Minh Chinh awal pagi tadi. 🇲🇾🇻🇳 #malaysiamadani #madanibekerja
❤️ 👍 🙏 😂 😢 60

Comments