Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim

69.9K subscribers

Verified Channel
Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
February 26, 2025 at 05:21 AM
Di ASEAN Future Forum 2025 pagi ini di Hanoi, saya menegaskan betapa masa depan ASEAN bergantung kepada keupayaan kita untuk bersatu sebagai sebuah ketumbukan yang dinamik, inklusif, dan berdaya tahan. Dunia hari ini berada dalam keadaan yang tidak menentu terutamanya persaingan geopolitik yang terus membengis, ketidakseimbangan ekonomi semakin ketara, dan pergolakan global lantas sering menggugat kestabilan rantau ini. Dalam mendepanu tantangan ini, ASEAN tidak boleh sekadar menjadi pemerhati atau hanya bergantung kepada penugasan yang diberi. Keutamaan ASEAN bukan hak mutlak, tetapi ia adalah satu keistimewaan yang perlu diperjuang dan diperbaharui melalui kesepaduan, tindakan kolektif yang berkesan, serta komitmen berterusan terhadap keamanan dan kemakmuran serantau. Dalam usaha membina ASEAN yang lebih kukuh, kita tidak boleh menafikan bahawa jurang pembangunan antara negara anggota masih besar. Sesetengah ekonomi ASEAN berkembang pesat, sementara yang lain masih berusaha mengejar kemajuan. Ini adalah realiti yang mesti kita tangani dengan serius. Kemajuan tidak boleh hanya dinikmati oleh segelintir, sebaliknya ia mesti dirasai oleh seluruh masyarakat di ASEAN. Kita perlu merapatkan jurang ini melalui kerjasama ekonomi yang lebih erat, memperkukuh rantaian bekalan serantau, dan memastikan setiap negara mendapat peluang yang adil untuk berkembang. Malaysia, berlandaskan kerangka MADANI, bersedia untuk menjadi pemacu dalam gagasan ini yakni dengan menekankan pelaburan hijau, pertumbuhan ekonomi yang mampan, serta pembangunan yang bersifat inklusif dan saksama. Selain itu, kita juga tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa ASEAN berada di tengah-tengah persaingan antara adikuasa besar dunia. Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, dasar perlindungan ekonomi, serta perubahan dalam landskap geopolitik global memberikan kedua-dua cabaran dan peluang kepada rantau ini. Persoalannya, adakah ASEAN bersedia untuk memanfaatkan perubahan ini, atau adakah kita akan menjadi mangsa kepada persaingan yang tidak berpihak kepada kita? Jawapannya bergantung kepada keupayaan kita untuk bertindak sebagai satu blok ekonomi yang bersatu, yang mempunyai suara yang jelas, serta dasar yang kukuh dalam memastikan manfaat pelaburan dan perdagangan global diagihkan secara saksama dalam rantau ini. Kita juga harus mengelak daripada bergantung terlalu banyak kepada satu pasaran atau satu industri sahaja, kerana ini akan menjadikan ASEAN lebih rentan terhadap kejutan luar. Sebaliknya, kita perlu memperkukuh kerjasama serantau, merancang strategi jangka panjang yang mengambilkira kepelbagaian dan keunikan setiap negara anggota, serta membina ASEAN yang benar-benar bersedia menghadapi cabaran masa depan. Ini pastinya menjadi detik yang menentu serta mencatur masa depan ASEAN. Kita bukan lagi sebuah rantau yang hanya mengikut arus perkembangan dunia, tetapi sebuah kuasa yang mampu mencorakkan hala tujunya sendiri. ASEAN memiliki potensi yang luar biasa besar, tetapi potensi ini hanya akan menjadi kenyataan jika kita benar-benar bersatu dan bergerak sebagai sebuah komuniti masyarakat yang teguh. Dengan iltizam yang kukuh, kesepaduan yang padu, dan semangat kebersamaan yang jitu, kita mampu mengharungi segala cabaran dan melakar sebuah era baharu yang lebih gemilang untuk ASEAN dan seluruh rakyatnya. 🇲🇾🇻🇳 #malaysiamadani #madanibekerja
❤️ 👍 😂 😢 🙏 67

Comments