Ustaz Azhar Idrus
Ustaz Azhar Idrus
February 19, 2025 at 07:03 AM
اللؤلؤ والمرجان فيما اتفق عليه الشيخان Terjemahan & Ringkasan Kitab Hadith Lu’Lu’ Dan Marjan Disertakan Sedikit Keterangan النهي عن البصاق في المسجد في الصلاة وغيرها LARANGAN DARI BERLUDAH DALAM MASJID DI DALAM SOLAT DAN LAINNYA Telah diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. : أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى بُصَاقًا فِي جِدَارَ الْقِبْلَةِ فَحَكَّهُ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ، فَقَالَ: إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي فَلاَ يَبْصُقْ قِبَلَ وَجْههِ، فَإِنَّ اللهَ قِبَلَ وَجْهِهِ إِذَا صَلَّى Artinya : “Sungguhnya Rasulullah sollalahu alaihi wasallam telah melihat akan kesan ludah pada dinding bahagian kiblat lalu dikikisnya kemudian berhadap kepada manusia lalu bersabda : Apabila adalah seorang kamu sedang solat maka jangan dia berludah di hadapan mukanya kerana sungguhnya Allah Taala berhadap mukanya apabila dia solat.” Dan diriwayatkan daripada Abu Said r.a. : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْصَرَ نُخَامَةً فِي قِبْلَةِ الْمَسْجِدِ فَحَكَّهَا بِحَصَاةٍ، ثُمَّ نَهى أَنْ يَبْزُقَ الرَّجُلُ بَيْنَ يَدَيْهِ، أَوْ عَنْ يَمِينِهِ، وَلكِنْ عَنْ يَسَارِهِ، أَوْ تَحْتَ قَدَمِهِ الْيُسْرَى Artinya : “Sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam melihat kahak pada arah kiblat masjid lalu dikikisnya dengan anak batu kemudian melarang bahawa berludah oleh seorang lelaki di hadapannya atau dari pihak kanannya dan tetapi dari pihak kirinya atau di bawah tapak kakinya yang kiri.” Dan daripada Anas bin Malik r.a. beliau telah berkata : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْبُزَاق فِي الْمَسْجِدِ خَطِيئَةٌ وَكَفَّارَتُهَا دَفْنُهَا Artinya : “Telah bersabda oleh Nabi sollallahu alahi wasallam : Berludah di dalam masjid itu satu kesalahan dan kafarahnya ialah menanamnya.” Hadith-hadith ini datang pada menerangkan larangan berludah di dalam masjid dan cara berludah di dalam solat dan kafarah berludah di dalam masjid. KETERANGAN BERLUDAH DALAM SOLAT Ketika seseorang sedang berada di dalam solat dia sebenarnya sedang bermunajat kepada Allah oleh kerana itu jika dia hendak berludah maka elakkan dari berludah arah hadapannya dan begitu juga di sebelah kanannya kerana kemuliaan pihak kanan. Abdullah bin Umar r.a. menceritakan : أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى بُصَاقًا فِي جِدَارَ الْقِبْلَةِ فَحَكَّهُ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ، فَقَالَ: إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي فَلاَ يَبْصُقْ قِبَلَ وَجْههِ، فَإِنَّ اللهَ قِبَلَ وَجْهِهِ إِذَا صَلَّى Artinya : “Sungguhnya Rasulullah sollalahu alaihi wasallam telah melihat akan ludah pada dinding bahagian kiblat lalu dikikisnya kemudian berhadap kepada manusia lalu bersabda : Apabila adalah seorang kamu sedang solat maka jangan dia berludah di hadapan mukanya kerana sungguhnya Allah Taala berhadap mukanya apabila dia solat.” Yang dimaksudkan dengan dinding kiblat itu yaitulah dinding masjid arah kiblat yang bersolatlah oleh orang-orang kepadanya. Sabit pada satu lagi riwayat Imam Bukhari : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى نُخَامَةً فِي قِبْلَةِ المَسْجِدِ Artinya : “Sungguhnya Nabi sollalahu alaihi wasallam telah melihat akan kahak pada arah kiblat masjid.” Dan pada satu riwayat Imam Ahmad : فَحَتَّهَا بِيَدِهِ ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ Artinya : “Maka Nabi sollalahu alaihi wasallam pun membersihkannya dengan tangannya kemudian berhadap ke atas manusia.” Dan pada satu lagi riwayat Imam Ahmad adalah Nabi sollalahu alaihi wasallam melihatnya ketika sedang menunaikan solat bersama orang-orang yaitu berkata Ibnu Umar r.a. : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى نُخَامَةً فِي قِبْلَةِ الْمَسْجِدِ وَهُوَ يُصَلِّي بَيْنَ يَدَيِ النَّاسِ فَحَتَّهَا Artinya : “Bahawasanya Nabi sollalahu alaihi wasallam telah melihat akan kahak pada kiblat masjid dan baginda sedang solat di hadapan orang-orang lalu dikikisnya.” Bermula perbuatan Nabi sollallahu alaihi wasallam mengikis ludah yang terdapat pada dinding masjid itu ialah kerana mengajar umatnya menjaga kebersihan masjid dan lainnya dari segala perkara yang kotor sesuai dengan syariat Islam yang sangat mementingkan kebersihan dan pada setengah riwayat menyebut Nabi solallahu alaihi wasallam mengikisnya dengan batu seperti riwayat Abu Said di atas. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى نُخَامَةً فِي جِدَارِ الْمَسْجِدِ، فَتَنَاوَلَ حَصَاةً فَحَتَّهَا Artinya : “Sungguhnya Rasulullah sollalahu alaihi wasallam telah melihat akan kahak pada dinding masjid lalu diambilnya akan batu yang kecil kemudian dikikisnya.” Dan pada hadith ini Nabi sollallahu alaihi wasallam membenarkan berludah pada selain masjid yaitu pada tempat yang munasabah berludah padanya seperti seorang yang solat di padang atau di atas pasir atau di atas batu atau seumpamanya jika perlu ketika sedang menunaikan solat seperti banyak air liur berkumpul di dalam mulutnya hingga menyukarkannya membaca atau ada suatu sisa makanan dalam mulutnya takut ia tertelannya tetapi hendaklah berludah itu pada pihak kirinya bukan pihak hadapannya kerana sedang berhadap kepada Allah dan bukan pada kanannya kerana memuliakannya. Kerana itu pada hadith Ibnu Umar r.a. itu Nabi sollalahu alaihi wasallam bersabda : إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي فَلاَ يَبْصُقْ قِبَلَ وَجْههِ، فَإِنَّ اللهَ قِبَلَ وَجْهِهِ إِذَا صَلَّى Artinya : “Apabila seorang kamu sedang solat maka jangan dia berludah pada hadapan wajahnya kerana sungguhnya Allah berhadap wajahnya apabila dia sedang solat.” Dan pada hadith Abu Said r.a. beliau berkata : نَهى أَنْ يَبْزُقَ الرَّجُلُ بَيْنَ يَدَيْهِ، أَوْ عَنْ يَمِينِهِ، وَلكِنْ عَنْ يَسَارِهِ أَوْ تَحْتَ قَدَمِهِ الْيُسْرَى Artinya : “Nabi sollallahu alaihi wasallam telah melarang bahawa berludah oleh seorang ke hadapannya atau sebelah kanannya akan tetapi berludahlah sebelah kirinya atau di bawah tapak kakinya.” Berkata Imam Nawawi : وَإِنَّمَا نَهَى عَنِ الْبُصَاقِ عَنِ الْيَمِينِ تَشْرِيفًا لَهَا وَفِي رِوَايَةِ الْبُخَارِيِّ فَلَا يَبْصُقْ أَمَامَهُ وَلَا عَنْ يَمِينِهِ فَإِنَّ عَنْ يَمِينِهِ مَلَكًا Artinya : “Dan hanya sungguhnya melarang oleh Nabi sollalahu alaihi wasallam dari berludah sebelah kanan ialah kerana memuliakan baginya. Dan pada satu riwayat Imam Bukhari : Jangan seorang kamu berludah di hadapannya dan jangan di kanannya kerana sungguhnya dari kanannya itu malaikat.” (Kitab Syarah Muslim) Dan pada riwayat Ibnu Hibban : إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ إِلَى الصَّلَاةِ، فَلَا يَبْصُقْ أَمَامَهُ، لِأَنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ مَا دَامَ فِي صَلَاتِهِ Artinya : “Apabila berdiri seorang kamu kepada solat maka jangan dia berludah ke hadapannya kerana sungguhnya dia sedang ebrmunajat akan Tuhannya selama dia berada di dalam solatnya.” Maksud berludah di bawah tapak kakinya itu ialah seperti solat seorang di atas pasir maka dijatuhkan ludah ke tempat letak tapak kakinya kemudian di timbus dengan pasir akan ludah tersebut kemudian diletakkan semula tapak kakinya atasnya. Dan hukum berludah ke arah hadapan atau ke sebelah kanan adalah makruh samada di dalam solat atau di luarnya. Berkata Imam Nawawi : وَيُكْرَهُ أَنْ يَبْصُقَ عَنْ يَمِينِهِ أَوْ تِلْقَاءَ وَجْهِهِ Artinya : “Dan dimakruhkan bahawa berludah seorang itu dari pihak kanannya atau ke arah hadapannya.” (Kitab Al-Majmuk) BERLUDAH DALAM MASJID Berludah di dalam masjid adalah perbuatan yang dilarang samada berhajat kepada berludah atau tidak sama seperti mana dilarang membuang segala kotoran selainnya di dalam masjid. Oleh itu jika ada keperluan berludah maka hendaklah seorang itu berludah di luar masjid seperti berludah di atas tanah yaitu hukumnya adalah harus. Berkata Imam Nawawi : وَإِنْ كَانَ فِي غَيْرِ الْمَسْجِدِ لَمْ يَحْرُمْ الْبُصَاقُ فِي الْأَرْضِ Artinya : “Dan jika ada ia pada selain masjid tidaklah haram dia berludah pada tanah.” (Kitab Al-Majmuk) Kerana itu pada hadith Anas bin Malik r.a. Nabi solallahu alaihi wasallam bersabda : الْبُزَاق فِي الْمَسْجِدِ خَطِيئَةٌ وَكَفَّارَتُهَا دَفْنُهَا Artinya : “Berludah dalam masjid itu satu kesalahan dan kafarahnya ialah menanamnya.” Dan pada satu riwayat Imam Ahmad : النُّخَاعَةُ فِي الْمَسْجِدِ خَطِيئَةٌ وَكَفَّارَتُهَا دَفْنُهَا Artinya : “Membuang kahak dalam masjid itu satu kesalahan dan kafarahnya ialah menanamnya.” Dan pada satu lagi riwayat Imam Ahmad : التَّفْلُ فِي الْمَسْجِدِ سَيِّئَةٌ وَدَفْنُهُ حَسَنَةٌ Artinya : “Berludah dalam masjid itu satu perbuatan salah dan menanamnya itu elok.” Hadith-hadith ini menjadi dalil atas dilarang membuang ludah dan lainya dari segala macam kotoran di dalam masjid. Dan pendapat yang kuat dan juga jumhur berludah dalam masjid itu haram hukumnya sekalipun berludah pada kirinya sahaja seperti haram membuang kotoran yang lain di dalam masjid seperti hingus dan kahak dan lendir-lendir tubuh dan kulit badan yang tercabut. Tersebut pada kitab Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah : لاَ خِلاَفَ بَيْنَ الْفُقَهَاءِ فِي أَنَّ تَفْل الْفَضَلاَتِ الطَّاهِرَةِ الْمُسْتَقْذَرَةِ مِنْ مُخَاطٍ وَنَحْوِهِ مِنْ بُصَاقٍ وَنُخَامَةٍ مَحْظُورٌ، لِحَدِيثِ : الْبُزَاقُ فِي الْمَسْجِدِ خَطِيئَةٌ . وَقَال الشَّافِعِيَّةُ : يَحْرُمُ الْبُصَاقُ فِي الْمَسْجِدِ مُطْلَقًا وَبِهِ جَزَمَ النَّوَوِيُّ لِظَاهِرِ الْحَدِيثِ السَّابِقِ، وَكَذَلِكَ قَال الصَّيْمَرِيُّ : الْبُصَاقُ فِي الْمَسْجِدِ مَعْصِيَةٌ، قَال الزَّرْكَشِيُّ : أَمَّا إِطْلاَقُ الرُّويَانِيِّ وَالْجُرْجَانِيِّ وَالْمَحَامِلِيِّ وَسُلَيْمٍ الرَّازِي وَغَيْرِهِمْ مِنَ الشَّافِعِيَّةِ الْكَرَاهَةَ فَمَحْمُولٌ عَلَى إِرَادَةِ التَّحْرِيمِ، فَمَنْ بَصَقَ فِي مَسْجِدٍ فَقَدِ ارْتَكَبَ مُحَرَّمًا، وَكَفَّارَتُهُ دَفْنُهُ فِي رَمْل الْمَسْجِدِ، فَلَوْ مَسَحَهَا بِخِرْقَةِ وَنَحْوِهَا كَانَ أَفَضْل. وَنَقَل الزَّرْكَشِيُّ عَنْ شَرْحِ الْمُهَذَّبِ : مَنْ رَأَى مَنْ يَبْصُقُ فِي الْمَسْجِدِ لَزِمَهُ الإْنْكَارُ عَلَيْهِ، وَمَنْعُهُ مِنْهُ إِنْ قَدَرَ، وَمَنْ رَأَى بُصَاقًا أَوْ نَحْوَهُ كَالْمُخَاطِ فِي الْمَسْجِدِ يُزِيلُهُ بِدَفْنِهِ، أَوْ إِخْرَاجِهِ، وَيُسْتَحَبُّ تَطْيِيبُ مَحِلِّهِ، لِحَدِيثِ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ النَّبِيَّ رَأَى نُخَامَةً فِي قِبْلَةِ الْمَسْجِدِ فَغَضِبَ حَتَّى احْمَرَّ وَجْهُهُ. فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ أَنْصَارِيَّةٌ فَحَكَّتْهَا، وَجَعَلَتْ مَكَانَهَا خَلُوقَاءَ، فَقَال صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا أَحَسَنَ هَذَا Artinya : “Tiada khilaf antara fuqahak pada bahawasanya membuang segala lebihan yang suci yang dianggap kotor daripada lendir dan seumpamanya daripada air liur dan kahak adalah dilarang kerana hadith : Berludah dalam masjid itu satu kesalahan. Dan telah berkata Imam Syafie : Haram berludah dalam masjid sama sekali dan dengannya telah menjazamkan oleh Imam Nawawi kerana zahir hadith yang telah lalu. Dan seperti demikian juga telah berkata oleh As-Shoimari : Berludah dalam masjid itu satu maksiat. Telah berkata oleh Az-Zarkasyi : Adapun membuat itlak oleh Ar-Ruyani dan Al-Jurjani dan Al-Mahamili dan Sulaim Ar-Razi dan lain dari mereka itu dari kalangan ulamak mazhab Syafie akan makruh ialah ditanggung atas kehendak makruh tahrim. Maka barangsiapa berludah di dalam masjid maka sungguhnya dia telah mengerjakan perkara yang diharamkan dan kafarahnya ialah menanamnya di bawah pasir masjid dan kalau dia sapunya dengan cebisan kain atau seumpamanya maka ia adalah lebih elok. Dan telah menaqal oleh Az-Zarkasyi dari Syarah Al-Muhazzab : Barangsiapa nampak seorang berludah dalam masjid maka wajib dia ingkarkan atasnya dan menahannya daripadanya jika dia kuasa dan barangsiapa melihat air liur atau seumpamanya seperti lendir dalam masjid hendaklah dia hilangkan dengan menanamnya atau mengeluarkannya dan disunatkan dia wangikan akan tempatnya kerana hadith Anas r.a. bahawasanya Nabi sollalahu alaihi wasallam telah nampak akan kahak pada hadapan masjid lalu marah ia sehingga jadi merah wajahnya kemudian datang seorang wanita Ansar dan membuangnya dan meletakkan pada tempatnya suatu yang harum maka bersabda oleh Nabi sollalahu alaihi wasallam : Ini suatu yang sangat elok.” Berkata fuqahak andainya ada keperluan berludah ketika berada di dalam masjid tetapi bukan di dalam solat maka hendaklah dia keluar dari masjid untuk berludah. Adapun jika sedang berada di dalam solat maka hendaklah berludah ia pada sapu tangannya atau pada pakaiannya seperti pada lengan bajunya atau pada hujung bajunya atau pada kain selendangnya atau seumpamanya. Berkata Syeikh Al-Mubarakfuri : قَالَ النَّوَوِيُّ اعْلَمْ أَنَّ الْبُزَاقَ فِي الْمَسْجِدِ خَطِيئَةٌ مُطْلَقًا سَوَاءٌ احْتَاجَ إِلَى الْبُزَاقِ أَوْ لَمْ يَحْتَجْ بَلْ يَبْزُقُ فِي ثَوْبِهِ Artinya : “Telah berkata oleh Imam Nawawi : Ketahui olehmu sungguhnya berludah dalam masjid itu merupakan satu kesalahan secara mutlak samada berhajat ia kepada berludah atau tidak berhajat bahkan hendaklah dia berludah pada pakaiannya.” (Kitab Tuhfah Al-Ahwazi) Dan berkata Imam As-Syairazi : وان بدره البصاق فان كان في غير الْمَسْجِدِ لَمْ يَبْصُقْ تِلْقَاءَ وَجْهِهِ وَلَا عَنْ يَمِينِهِ بَلْ يَبْصُقُ تَحْتَ قَدَمِهِ الْيُسْرَى أَوْ عَنْ يَسَارِهِ وَإِنْ بَدَرَهُ فِي الْمَسْجِدِ بَصَقَ فِي ثَوْبِهِ Artinya : “Dan jika ada air liurnya untuk diludah maka jika dia bukan di dalam masjid janganlah dia berludah ke arah hadapannya dan jangan dari pihak kanannya bahkan berludahlah di bawah tapak kakinya yang kiri atau dari pihak kirinya. Dan jika ada air liur untuk diludahkan ketika sedang berada dalam masjid maka berludahlah pada pakiannya.” (Kitab Al-Muhazzab) KAFARAH BERLUDAH DALAM MASJID Anas bin Malik r.a. berkata : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْبُزَاق فِي الْمَسْجِدِ خَطِيئَةٌ وَكَفَّارَتُهَا دَفْنُهَا Artinya : “Telah bersabda oleh Nabi sollallahu alahi wasallam : Berludah di dalam masjid itu satu kesalahan dan kafarahnya ialah menanamnya.” Seperti yang telah lalu sebutnya jika sedang berada dalam masjid kemudian rasa hendak berludah maka hendaklah dia keluar berludah di luarnya. Dan jika sedang berada dalam solat maka berludahlah pada pakaiannya. Jika berludah juga oleh seseorang pada lantai masjid maka sungguhnya dia telah melakukan satu kesalahan dan maksiat dan wajiblah atasnya menebus kesalahannya itu dengan membuangnya atau membersihkannya. Berkata Syeikh Al-Mubarakfuri : فَإِنْ بَزَقَ فِي الْمَسْجِدِ فَقَدِ ارْتَكَبَ الْخَطِيئَةَ وَعَلَيْهِ أَنْ يُكَفِّرَ هَذِهِ الْخَطِيئَةَ بِدَفْنِ الْبُزَاقِ هَذَا هُوَ الصَّوَابُ أَنَّ الْبُزَاقَ خَطِيئَةٌ كَمَا صَرَّحَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَهُ الْعُلَمَاءُ Artinya : “Maka jika berludah oleh seorang di dalam masjid maka sungguh dia telah melakukan satu kesalahan dan wajib atasnya bahawa membayar kafarah akan kesahalan ini dengan cara menanam ludah itu. Inilah yang betulnya yaitu berludah itu satu kesalahan sebagaima telah menerangkan dengannya oleh Rasulullah solallahu alaihi wasallam dan telah berkatanya oleh para ulamak.” (Kitab Tuhfah Al-Ahwazi) Yang dimaksudkan dengan menanamnya itu ialah jika masjid tersebut berlantaikan tanah atau pasir maka hendaklah ditanam air liur ludahannya itu ke dalam tanah dan pasir. Adapun jika lantainya simen seperti kebanyakkan masjid pada zaman sekarang maka wajib atasnya mengambil ludahnya itu atau mengikisnya dengan suatu yang suci hingga jadi bersih seperti semula. Berkata Syeikh Al-Mubarakfuri : قَالَ النَّوَوِيُّ فِي الرِّيَاضِ الْمُرَادُ بِدَفْنِهَا مَا إِذَا كَانَ الْمَسْجِدُ تُرَابِيًّا أَوْ رَمْلِيًّا وَأَمَّا إِذَا كَانَ مُبَلَّطًا مَثَلًا فَدَلَكَهَا عَلَيْهِ بِشَيْءٍ مَثَلًا Artinya : “Telah berkata Imam Nawawi pada kitab Ar-Riyadh : Yang dikehendaki dengan menanamnya itu ialah apabila adalah masjid itu berlantaikan tanah atau pasir. Dan adapun apabila adalah lantainya yang berturap seperti simen misalnya maka hendaklah dia gosok atasnya dengan suatu umpamanya.” (Kitab Tuhfah Al-Ahwazi) wallahua’lam ustaz azhar idrus
Image from Ustaz Azhar Idrus: اللؤلؤ والمرجان فيما اتفق عليه الشيخان  Terjemahan & Ringkasan Kitab H...
❤️ 👍 😢 😮 🙏 😂 499

Comments