Karya PiS
Karya PiS
February 1, 2025 at 02:13 PM
๐—ฃ๐—ฒ๐—ป๐˜‚๐—น๐—ถ๐˜€: ๐——๐—ฟ ๐—ฆ๐—ฎ๐—ต๐˜‚๐—น ๐—›๐—  ๐—”๐—น-๐—ฅ๐—ฎ๐˜„๐—ฏ๐—ฎ๐—ฟ๐—ถ Membaca tesis sarjana Sains Politik dari sebuah universiti tempatan yang sedang hangat di pasaran sekarang, sangatlah mengecewakan. Walaupun bidang sains sosial dan kemanusiaan lebih menjurus kepada pentafsiran yang subjektif, ia perlu berpijak kepada data dan fakta yang sahih. Tafsirannya pun tidaklah boleh secara semberono dan bertolak daripada 'preconceived mind'. Disebabkan tesis tersebut ada menyentuh pensejarahan, maka saya juga terpanggil untuk menurunkan komentar. 1. Gerakan Wahabiyah tidak dikenali sebegitu pada zamannya, iaitu pada abad ke-18. Gerakan tersebut dikenali sebagai gerakan Muwahidun. Gelar 'Wahabi' muncul pada abad berikutnya dek kerana ketidakpuasan hati para penentang gerakan Muwahidun, seraya menunggang istilah 'Wahabi' yang sedia ada, merujuk kepada gerakan Abdul Wahab Rustum di Algeria, pada abad ke-9. 2. 'Name calling' ini kemudian dipopularkan oleh British yang melihat gerakan Muwahidun merupakan ancaman terhadap gerakan imperial mereka. Untuk ini, kita perlu merujuk kepada sejarah di Mesir, Saudi dan paling penting di India pada abad ke-19. 3. Kesalahan ejaan, struktur ayat dan sintaks sangatlah banyak, seumpama ia ditulis oleh seorang pelajar tingkatan empat yang sedang menulis tugasannya, menunggu diperbetulkan oleh gurunya. Apakah tiada semakan dibuat terhadap tesis ini? Bacaan pruf tak dibuat? Penyelia? Penilai luar? Untuk rekod, penilai luar merupakan sosok yang paling digeruni dalam pemeriksaan tesis kerana memang menjadi kelaziman bahawa ia orangnya yang dianggap paling teliti, kritis dan 'garang'. Beliaulah yang paling berkuasa, secara de facto. 4. Pentarikhan yang meraban. Pemikiran SMAW menguasai Mekah dan Madinah pada tahun 1510? Masihi atau Hijrah? Masihi pun salah, Hijrah pun salah. Hal ini dalam sejarah disebut sebagai anakronisme. Kecelaruan dalam pentarikhan. Lagipun SMAW lahir pada awal abad ke-18 Masihi. Ajaib sungguh jika pengaruhnya sudah tersebar 200 tahun lebih awal sebelum kelahirannya. Tapi, untuk golongan manusia yang cenderung percaya kepada tok wali terbang atau selak tirai tanya Nabi, tidaklah menjadi kepelikan hal sebegini, kan? Selain itu, di banyak tempat tesis ini mencampuradukkan rujukan tahun Masihi dan Hijrah tanpa dinyatakan secara jelas. Kita (atau penilai?) dibiarkan untuk bermain teka-teki. Mujurlah para penilainya orang hebat. Kalau saya mungkin dah 'surrender' awal-awal. 5. Persoalan serius lain yang perlukan penjelasan adalah tafsiran melulu terhadap peranan pemimpin Kaum Muda seperti Syeikh Tahir Jalaludin, Syeikh Salim Kalali, Syed Syeikh al-Hadi dan Syeikh Rashid Ridha. Dengan kejijikan yang cuba disemai terhadap SMAW, para pemimpin tersebut juga cuba dipalitkan bersekali seolah-olah mereka itu berbahaya pemikirannya. Tiada kebaikan mereka itu semua melainkan merupakan ejen-ejen SMAW yang membahayakan umat Islam daripada aliran Asyairah-Maturudiah. 6. Tesis ini juga ada menulis nama Dr. Bilal Philips sebagai antara tokoh yang terpalit dalam tuduhan keganasan antarabangsa. Apakah anda tidak sedar atau sengaja membutakan mata terhadap fakta bahawa saudara Zamihan Mat Zin sudah meminta maaf secara terbuka kepada Dr. Bilal pada Julai 2018 kerana menuduh Dr. Bilal terlibat dalam keganasan antarabangsa? Tesis yang disiapkan pada tahun 2024 tiada kemaskini maklumat penting 2018? Memalukan!!! 7. Seterusnya, suka saya membetulkan para pakar yang terlibat dalam tesis ini bahawa nama Syeikh Nasirudin al-Bani itu salah. Kesalah itu berulang-ulang. Nama beliau al-Albani, dinisbahkan kepada negara asalnya, Albania, bukan nisbah kepada Bani. Yang betul adalah Nasiruddin al-Albani. Ini antara tokoh penting yang nak dikecam dalam tesis ini. Paling tidak hormatilah namanya. 8. Yang paling akhir adalah kesalahan teruk di bahagian bibliografinya. Dalam sebuah tesis sains sosial atau kemanusiaan, antara bahagian terpenting adalah bibliografinya. Cuba anda tengok susunannya. Berterabur! Ini adalah pengetahuan yang sangat asas dalam penulisan tesis. 'Alphabetical order' brothers! 9. Kritikan sebegini adalah biasa dalam dunia akademik. Tak perlu melenting sangat, kerana memang anda cuai dan tidak jujur. Lagi pun tesis ini bukanlah rahsia, ia dalam kategori 'open access'. Tak jadi masalah pun. 10. Inilah natijahnya apabila sesebuah kajian atau tesis ditulis dengan 'preconceived mind'. Hasil akhirnya sudah ditentukan dan semua dapatan akan dipulas untuk menyokong hasil akhir yang sudah ditetapkan. Cukuplah sekadar memuaskan hati pengkaji dan penilai, semak sesama sendiri, gelak ketawa dapat menuduh orang, kemudian lulus! Semua orang hidup gembira hingga ke akhir hayatnya. Sampailah ia terbongkar kemudian dan bau pekungnya tersebar! #shmsejarah -Sahul HM-

Comments