Karya PiS
Karya PiS
February 1, 2025 at 02:15 PM
Dalam berhadapan dengan pelaku maksiat, ada beberapa sikap yang perlu kita zahirkan : 1- Jangan mencela atau mencaci maki dirinya. 2- Puji Allah SWT yang telah memberikan ‘afiyah (keselamatan) kepada kita dari melakukan maksiat yang dia lakukan. 3- Bantu dia untuk meninggalkan maksiat. 4- Benci maksiat yang dia lakukan, bukan membenci dirinya. Kerana di sebalik maksiat tersebut, dia hakikatnya saudara kita. Semua noktah ini saya keluarkan dari kisah Abū Al-Dardā’ رضي الله عنه berikut. Kata Abū Qilābah : Suatu hari, Abū Al-Dardā’ melintas di hadapan seorang lelaki yang telah melakukan dosa. Orang ramai pada ketika itu mencela lelaki tersebut. Lalu kata Abū Al-Dardā’ : أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَجَدْتُمُوهُ فِي قَلِيبٍ، أَلَمْ تَكُونُوا مُسْتَخْرِجِيهِ؟ Terjemahan : Sekiranya kamu semua mendapati lelaki ini terjatuh ke dalam sebuah perigi, adakah kamu akan membantu keluarkan dia dari perigi tersebut ? Mereka menjawab : Ya, kami akan bantu. Lalu kata Abū Al-Dardā’ : فَلَا تَسُبُّوا أَخَاكُمْ، وَاحْمَدُوا اللهَ الَّذِي عَافَاكُمْ Terjemahan : Jika begitu janganlah kamu mencela saudara kamu. Hendaklah kamu memuji Allah SWT yang telah menyelamatkan kamu dari maksiat. Mereka bertanya kepada Abū Al-Dardā’ : Tidakkah kamu membencinya ? Jawab Abū Al-Dardā’ رضي الله عنه : ‎إِنَّمَا أُبْغِضُ عَمَلَهُ، فَإِذَا تَرَكَهُ فَهُوَ أَخِي Terjemahan : Aku hanya membenci amalannya. Sekiranya dia meninggalkannya, maka dia adalah saudaraku. Rujuk Hilyatul Awliyā’, Abū Nu’aim (1/225) Kata Rasulullah SAW : ‎انْصُرْ أخاكَ ظالِمًا أوْ مَظْلُومًا. فقالَ رَجُلٌ: يا رَسولَ اللَّهِ، أنْصُرُهُ إذا كانَ مَظْلُومًا، أفَرَأَيْتَ إذا كانَ ظالِمًا، كيفَ أنْصُرُهُ؟ قالَ: تَحْجُزُهُ -أوْ تَمْنَعُهُ- مِنَ الظُّلْمِ؛ فإنَّ ذلكَ نَصْرُهُ Terjemahan : Bantulah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi. Seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah, aku akan membantunya sekiranya dia dizalimi. Menurutmu, sekiranya dia seorang yang zalim, bagaimana aku dapat membantunya ? Rasulullah SAW menjawab : Kamu menghalangnya - atau melarangnya - dari melakukan kezaliman. Sesungguhnya itu adalah cara kamu membantunya. Riwayat Al-Bukhāri (6952) Ketika ada orang yang mendoakan kehinaan kepada pelaku dosa, Rasulullah SAW menegurnya dengan kata-kata : ‎لا تَكُونُوا عَوْنَ الشَّيْطَانِ علَى أخِيكُمْ Terjemahan : Janganlah kamu menjadi penolong syaitan terhadap saudaramu. Riwayat Al-Bukhāri (6781) ✍🏻 Muhammad Fahmi Rusli

Comments