Karya PiS
Karya PiS
February 10, 2025 at 02:18 AM
MENGAPA SAYA MENULIS NOVEL? 1. Ada banyak faktor, antaranya sepanjang hampir 10 tahun saya mengajar beberapa subjek khususnya dalam akidah, dakwah, Tarikh, sirah dan pelbagai subjek lain yang saya integrasikan dalam kuliah dan kelas saya, saya melihat kemampuan berfikir semakin melemah dalam kalangan penuntut ilmu dan pelajar, pelajar hanya lebih suka menunggu maklumat yang disumbat berbanding berfikir dan menggerakkan akal untuk berfikir. Ini kemungkinan juga faktor manja dan malas membaca. 2. Tokoh sentrik (pelajar hanya berpusat kepada ketokohan dan kelayakan seorang guru atau apa yang mereka suka dan tidak suka) namun mengabaikan Tauhidik sentrik (tumpuan kepada tauhid dan usul syariat). Jadilah pelajar hanya bergantung dengan kepetahan guru dan kelayakan namun tiada daya berfikir yang kukuh. 3. Novel atau uslub kisah dan perumpamaan adalah satu wasilah terbaik untuk saya mengajar para pembaca khususnya mereka yang belajar dengan saya agar berfikir dan melatih untuk berfikir serta berterusan dalam berfikir. 4. Mereka yang ingin melatih diri untuk membentuk malakah al-fiqhiyyah (keupayaan intelek dalam berinteraksi dengan dalil-dalil syarak serta memahami dan menganalisisnya) hendaklah dia melazimi ilmu amsal (perumpamaan) dan kisah, ia hakikatnya adalah iktibar (qiyas) yang diperlukan oleh seorang pemula dan mujtahid, ia juga adalah ilmu al-wujuh (atau asybah) wa nazaair di sisi salaf, ia juga termasuk cabang penting ulum al-Quran, usul al-fiqh dan qawa'id al-fiqhiyyah. Ia disifatkan sebagai: a) Peranan dan disiplin untuk seorang mufti (dan pendakwah). [Tabsirah Ibnu Farhun 1/76] b) Kemuncak untuk mujtahid (saya melihat ijtihad di sini adalah ijtihad juz'i bukan mutlak). [Maqalat al-Islamiyyin 2/360] c) Untuk mengetahui hikmah sesuatu perkara khususnya peristiwa dalam sejarah dan hukum syariat dan ia adalah rukun penting dalam proses taammul dan tadabbur. [Ahkam ahli Zimmah 3-1316] d) Ia adalah proses latihan yang berterusan dan membentuk pengalaman dalam tasawwur sesuatu isu. [Ansab al-Asyraf 5-72] e) Ia adalah hikmah itu sendiri, dan proses berterusan tadabbur, tafakur dan tammul terhadap ayat-ayat syar'i dan kauni berlegar kepada sina'ah ilmu ini (qiyas wal 'iktibar, al-Asybah, Al-Wujuh wa an-Nazair) 5. Sebagai tanggungjawab fardu kifayah, untuk memudahkan lagi pembaca awam dan mereka yang ingin belajar agama mampu memahami mesej-mesej tauhidik dan hikmat syariat dalam bentuk yang lebih ringan dan mudah dihadam. Justeru jangan sesekali memandang novel yang saya tulis hanya semata-mata novel yang tiada tujuan. Saya sangat bersyukur kerana ramai dalam kalangan sahabat dan pelajar yang menyokong usaha saya ini, teruskan menunggu karya-karya akan datang Insya Allah. Wallahu a’lam. M. Faz. -------------------- 📌 Tempah sekarang: Edisi Bhs Melayu: https://my.shp.ee/haxDfE8 English Edition: https://my.shp.ee/LJZqGmf

Comments