Karya PiS
Karya PiS
March 1, 2025 at 04:19 AM
KAEDAH PENTING: AFDALIYYAH (KELEBIHAN DAN KEUTAMAAN) IBADAT SUNAT ADALAH SUBJEKTIF IA TIDAK BOLEH DISERAGAMKAN MENJADI HANYA SATU KERANA KEADAAN MANUSIA BERBEZA-BEZA Setiap kali masuk bulan Ramadan, soalan yang akan berulang adalah soalan yang berbentuk afdaliyyah dan tidak (mana lebih afdal? ini atau itu), contohnya: 1) Mana lebih utama, solat terawih di rumah atau di Masjid? 2) Mana lebih utama, membaca al-Quran secara banyak dan mengkhatamkannya beberapa kali atau baca perlahan dan tadabbur? 3) Fokus kepada membaca al-Quran atau menuntut ilmu? Mana lebih utama? 4) Solat qiyam mana lebih afdal, di awal malam atau di akhir malam? Dan lain-lain soalan yang berbentuk sama. Seorang alim dan faqih tidak boleh menjawab soalan ini dengan satu jawapan yang seragam, kerana keadaan manusia berbeza-beza, jika ia menjawab dengan satu jawapan yang seragam maka dia sebenarnya jahil dan zalim kerana syarat untuk menjadi alim mesti dia mengetahui khilaf dalam perbahasan fiqh dan mesti juga mengetahui dan meraikan keadaan dan situasi pertanyaan supaya dia mampu bersikap adil. Perlu difahami selagimana ia adalah ibadat sunat dan nawafil ia kekal dalam kerangka fleksibelitinya, maksudnya ia tidak boleh dipaksakan kepada satu pendapat dan menyempitkan ruang keluasan yang diberikan syariat. Namun saya akan kongsikan kaedah penting daripada Al-Hasan al-Basri rahimahullah, khususnya berkaitan dengan ibadat sunat antaranya solat malam dan terawih. Seorang lelaki pernah bertanya kepada al-Hasan al-Basri rahimahullah: يا أبا سعيد هذا رمضان أظلني، وقد قرأت القرآن، فأين تأمرني أن أقوم وحدي أم أنظم إلى جماعة المسلمين فأقوم معهم ؟ “Wahai Abu Sa‘id, kini Ramadan telah menjelang. Aku telah membaca al-Quran. Maka, di mana engkau menyuruhku untuk mendirikan solat malam? Adakah lebih baik aku melakukannya bersendirian atau bersama jemaah kaum Muslimin?” Al-Hasan al-Basri menjawab: إنما أنت عبد مرتاد لنفسك، فانظر أي الموطنين كان أوجل لقلبك وأحسن لتيقظك؛ فعليك به “Sesungguhnya engkau hanyalah seorang hamba yang sedang mencari keselamatan untuk dirimu sendiri. Maka, lihatlah di manakah tempat yang lebih membuatkan hatimu lebih takut kepada Allah dan lebih menyedarkan jiwamu—maka itulah yang lebih baik untukmu.” [Mukhtasar Qiyam al-Layl, hlm. 231] Aplikasi kaedah: 1. Orang yang menghafal al-Quran lebih afdal untuk dia solat bersendirian di rumah atas pendapat sebahagian ulama, dia boleh memilih untuk solat dirumah atau di Masjid, jika dia ada jemaahnya sendiri afdal untuk dia solat dengan jemaahnya atau keluarganya. Orang yang mampu membaca al-Quran namun dia ingin murajaah bacaannya, lebih afdal dia solat terawih berjemaah di Masjid atau surau. Mereka yang keadaan rumahnya tidak sesuai untuk mendirikan terawih kerana ada gangguan sudah tentu solat terawih berjemaah bersama Imam di Masjid dan surau itu lebih afdal. Mereka yang tidak mampu baca al-Quran atau bacaannya tidak bagus, yang afdal sudah tentu solat jemaah di Masjid atau surau. Wanita yang takut fitnah di luar atau di jalanan, sudah tentu afdal solat terawih di rumahnya. Dan seterusnya banyak lagi keadaan yang subjektif dan tidak boleh dipaksakan kepada satu pendapat sahaja. 2. Orang yang bacaan al-Qurannya baik, dia faham apa yang dia baca lebih utama untuk dia khatamkan dan banyakkan bacaannya. Jika dia tidak faham pun harus sahaja dia membanyakkan bacaannya kerana Ramadan bulan al-Quran. Boleh juga untuk peruntukkan untuk waktu tadabbur dan membaca secara perlahan dan seterusnya. Keadaan manusia berbeza-beza justeru jangan dipaksa dengan satu pendapat!. 3. Mereka yang menuntut ilmu teruskan menuntut ilmu, namun tidak bermakna dia meninggalkan bacaan al-Quran, ia juga berbeza-beza menurut keadaan individu justeru tidak boleh dipaksa dengan satu pendapat dan keadaan sahaja!. Rujuk fatwa bijaksana daripada Syeikh Soleh alu Syeikh tentang isu ini. 4. Solat qiyam mana lebih utama, diawalkan atau dilewatkan?, jika pada awal malam itu lebih membawa dia kepada kecergasan, penghayatan dan ketakutan kepada Allah itulah yang afdal, jika dilewatkan pada akhir malam itu lebih membawa dia kepada kedekatan kepada Allah dan khusyuk dalam solatnya itulah lebih afdal. Berbeza keadaan jika seorang yang bermukim dan bermusafir, sihat dan sakit dll. Sekali lagi ia adalah berbeza-beza menurut keadaan dan tidak boleh dipaksakan kepada satu pendapat. Kesimpulannya, selagimana ia adalah ibadat sunat dan nawafil ia ada keluasan dan kelapangan, seharusnya seorang penuntut ilmu, ustaz atau alim bersikap bijaksana dalam mengeluarkan pendapat dengan meraikan keadaan individu dan sesuatu kumpulan sasaran tanpa perlu memaksakan kepada individu atau masyarakat sesuatu pendapat yang sempit sehingga menyusahkan, yang penting tujuan menghidupkan dan mendirikan Ramadan itu tercapai. Wallahu a’lam. -Ustaz Muhammad Fashan bin Ahmad Ziadi حفظه الله- Follow Telegram: - Karya PiS: t.me/karyapis - Ustaz: t.me/mfazilmu

Comments