
Cereka
May 26, 2025 at 01:24 PM
*Terdampar* _oleh Intan Yuhanis_
Sun tak tahu macam mana dia boleh berada di sini, tetapi sebaik sahaja Sun membuka mata, dia nampak banyak ular di atap gua. Warna pada kulit mereka terang dan berbelang. Ada kuning, merah, oren dan hitam. Mereka menyusup perlahan-lahan seperti tidak mahu orang lain tahu ke mana arah yang mereka ingin tuju.
Sun panik. Dia cuba untuk meloloskan diri, tetapi apabila dia cuba untuk bergerak, Sun terasa badannya seperti ditimpa kayu yang berat. Rupa-rupanya terdapat beberapa ekor ular besar berada di atas badan dan kakinya. Pada masa yang sama, beribu ekor ular yang lain mengelilinginya. Tidak ada satu inci pun ruang ditinggalkan. Mereka melingkari Sun rapat-rapat seakan-akan tidak membenarkan dia melarikan diri.
Belum sempat dia menarik nafas untuk menenangkan perasaan, kedengaran satu bunyi letupan dari luar gua. Letupan yang kuat menggegarkan atap dan dinding gua sehinggakan pasir dari atap yang longgar menghujani Sun. Tanpa diduga, seekor ular menggigit kaki kanan Sun. Dia menjerit kesakitan. Kepedihannya itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Satu lagi bunyi letupan meletus di luar gua. Sekali lagi, dinding dan atap gua bergegar. Kali ini, Sun digigit di peha kiri pula. Jeritan Sun semakin kuat. Lilitan ular-ular di badannya semakin ketat.
Sun sudah mula sesak nafas. Kepala sudah pening. Matanya pula sudah mula berpinar. Dia sudah tidak peka dengan keadaan sekeliling. Apabila seekor ular menggigit paha Sun, dia hanya mampu mengerang dalam diam.
Bertalu-talu ular menggigit dan menyengat Sun. Sedikit demi sedikit, badannya terasa sejuk. Kedua-dua belah kakinya hinggalah ke pinggang sudah kebas. Sun sudah tidak terdaya untuk membuka mata. Akhirnya, dia menerima takdirnya.
😢
👍
😮
❤️
😂
🐍
😭
🙏
🤔
🤨
172