Cereka

Cereka

293.9K subscribers

Verified Channel
Cereka
Cereka
May 27, 2025 at 04:24 AM
*Culik* _oleh Intan Yuhanis_ Sebaik sahaja aku berjaya melepaskan diri dari rumah usang itu, aku berlari sepantas kilat untuk melarikan diri daripada makhluk pelik yang tinggal di sana. Sebelum ini, makhluk pelik itu sudah membunuh dan memakan ketiga-tiga orang kawan aku sehingga tulang. Tiada rembulan yang menerangi aku malam itu. Aku hanya bergantung kepada naluri sahaja. Aku sudah tidak kisah macam mana pengakhiran aku kelak, tetapi yang penting, aku dapat meloloskan diri dari rumah usang dan makhluk pelik itu. Sudah agak lama aku berlari. Barangkali sudah 30 minit, tetapi aku masih belum menemui jalan keluar. Entah sudah kali ke berapa aku pusing di tempat yang sama. Apabila aku masih gagal untuk menemui jalan keluar, aku melutut di tengah-tengah hutan yang dipenuhi dengan binatang buas dan berbisa serta serangga sebesar tapak tangan. Aku meraung sendirian terkenangkan nasib aku. Pada awalnya, aku dan kawan-kawan ke sini untuk berkhemah. Tetapi entah macam mana, pada malam itu, kami diculik oleh makhluk pelik tersebut. Apabila kami tersedar keesokan paginya, kami mendapati bahawa kami berada di sebuah rumah usang, bukan di tapak perkhemahan. Satu demi satu makhluk pelik itu memakan rakan-rakan aku. Kini, tinggal aku seorang. Aku tak mahu menjadi makanan makhluk itu. Aku tak izinkan! Tetapi nampaknya, sudah tiada jalan lain melainkan aku menyerah diri. Seperti yang dijangka, makhluk pelik itu dapat mengesan keberadaan aku melalui suhu badan aku. Aku menoleh ke belakang apabila telinga menangkap bunyi tapak kaki serta bunyi dahan-dahan pokok berdesir. “Bunuh sahajalah aku!” Aku berkata. Mata butangnya merenung aku. Badan dan kaki robotnya condong sedikit seperti dia tidak bermaya untuk berdiri tegak. Kedua-dua belah tangannya kelihatan seperti tangan binatang. Di kepalanya pula tertampal kulit manusia serta rambut yang jarang dan terpacak. Walaupun ini bukan kali pertama aku melihatnya, tetapi tekak aku tetap terasa kembang. Terasa nak muntah. “Aku bukan nak bunuh kau.” Makhluk itu menjawab. “Kau dah bunuh kawan-kawan aku. Kau dah makan kawan-kawan aku. Kau nak apa lagi daripada aku? Cakap cepat!” “Aku nak kau jadi kawan aku.”
😮 😂 ❤️ 😢 👍 🤯 🤦‍♀️ 🤦‍♀ 👌 😅 203

Comments