
Cereka
June 11, 2025 at 10:54 AM
*Bayangan* _oleh Dinnaz_
Khadijah, seorang ibu beranak satu sering berjaga malam sejak dua menjak ini. Itu semua kerana malam-malamnya dihantui oleh bunyi ketukan perlahan di pintu flat. Pada awalnya, dia ingin membuka pintu tersebut. Tetapi dek kerana risau akan keselamatan mereka, dia hanya membiarkannya sahaja.
Hari ini, ketukan itu hadir lagi pada waktu yang sama, seolah-olah memanggilnya.
“Aina, sayang… tidur ya,” bisik Khadijah kepada anak kecilnya sambil menepuk paha budak itu dengan perlahan.
Khadijah cuba menenangkan dirinya, tetapi semakin hari, ketukan itu semakin merisaukan. Kadangkala, dia terdengar bisikan halus menyebut namanya. Siapa? Atau lebih menakutkan, apa?
Apabila dia bertanyakan perihal itu kepada Pak Jamil, jiran di tingkat atas, lelaki tua tersebut hanya mengangkat bahu.
“Mana aku tahu. Aku tak ada kena pula. Kau ada buat apa-apa ke sampai kena ganggu?” soalnya, lalu terus menutup pintu rumah.
Pertanyaan itu membuatkan Khadijah semakin dirundung hairan. Apa yang telah dia lakukan? Dia sendiri tidak tahu!
Segalanya makin merunsingkan apabila petang itu, jiran sebelah rumah Khadijah, Kak Farah tiba-tiba memberikan peringatan yang membuatkan bulu romanya meremang. “Afiq nampak bayang-bayang manusia tak ada kepala berdiri depan pintu rumah kau, Dijah.”
“Tak ada kepala?” ulang Khadijah dengan suara yang bergetar.
Suatu malam, segalanya berubah apabila bunyi ketukan itu bukan hanya muncul di pintu rumah Khadijah, tetapi juga seluruh flat. Ketukan yang pada awalnya perlahan berubah menjadi hentakan. Bunyi pintu yang diketuk bertalu-talu itu memaksa kesemua penghuni flat untuk berjaga.
Dan tiba-tiba....
Bumm!
Tanah di bawah flat bergegar. Lantai merekah, dan serpihan tembok mulai jatuh menyembah bumi. Jeritan ketakutan menghiasi malam. Kesemua penghuni flat pantas berlari menyelamatkan diri.
Khadijah memeluk Aina erat sambil berlari keluar bersama jiran-jirannya. Di luar, mereka menyaksikan flat itu runtuh, hilang dalam sekelip mata.
Dalam syukur kerana semua penghuni terselamat, Khadijah terpandang ke arah reruntuhan itu. Di bawah sinaran samar lampu jalan, dia melihat bayangan ‘seseorang’ tanpa kepala berdiri sebentar di celah serpihan runtuhan. Anehnya, disebabkan gangguan dan ketukan itu, mereka semua terselamat daripada menjadi mangsa runtuhan bangunan.
Bayangan itu kemudiannya lenyap bersama angin malam, seperti ‘sesuatu’ yang sudah menyempurnakan tugasnya.
😮
👍
❤️
😢
😂
🙏
👏
🗿
😨
😱
207