
Cereka
June 12, 2025 at 08:51 AM
*Makanan* _oleh Ikan Pari_
Hari ini, Aidan terlewat pulang. Dia didenda membersihkan tandas lelaki kerana membawa rokok ke sekolah.
Sebenarnya, Aidan telah diperangkap oleh Zaidi, ketua kumpulan budak nakal. Zaidi benci dengan sikap Aidan yang membatu sahaja apabila dibuli oleh gengnya. Pada waktu rehat, ketika semua murid pergi ke kantin, Zaidi memasukkan sekotak rokok milik ayahnya ke dalam beg Aidan selepas mendapat tahu daripada abangnya yang merupakan seorang pengawas bahawa hari itu, kelas mereka akan dikenakan spot check.
Aidan hanya diam sewaktu cikgu disiplin memarahinya, dan dia langsung tidak membantah apabila diberi hukuman. Zaidi dan gengnya masih tidak puas hati, lantas mengekori Aidan sebelum mengganggunya di tepi jalan.
“Woi, si batu!” jerkah Zaidi. Dia membaling segenggam batu kerikil ke arah Aidan, tapi budak lelaki itu langsung tidak menoleh dan terus berjalan.
“Kau pekak ke?” Zaidi dan kawan-kawannya pantas memotong langkah Aidan.
“Jangan kacau aku.”
“Kau ada suara rupanya.” Zaidi menarik beg galas Aidan dan melontar beg itu ke tengah jalan raya. Tanpa diduga, Aidan menolak Zaidi dan kawan-kawannya dengan kuat hingga jatuh tergolek ke atas tanah, kemudian mengambil begnya semula. Dia berlari dari situ.
“Kejar!” Berasa dipermalukan, mereka terus mengejar Aidan sehingga budak lelaki itu membelok ke sebuah rumah kosong.
Zaidi berhenti di halaman depan. Dia ternampak Aidan melambai ke arah tingkap yang pecah, di mana seorang perempuan dengan wajah separuh terkoyak sedang duduk sambil tersenyum lebar.
“Aku bawa makanan,” ujar Aidan ceria. Lidah wanita itu memanjang.
Zaidi terkencing dalam seluar.
😂
👍
😮
👻
❤️
😢
🤣
🙏
🌚
💀
167