Cereka

Cereka

291.4K subscribers

Verified Channel
Cereka
Cereka
June 14, 2025 at 12:13 PM
*Roda* _oleh A-RAinSH_ Mereka kata, hidup itu seperti roda. Terkadang kita di atas, kadang kita di bawah. Pernah aku berfikir, macam mana kalau kita hentikan roda itu ketika kita di atas? Bukankah kita akan selamanya di atas? Ah, mengarut! Kita hidupan yang bersifat. Kita dicipta untuk berevolusi. Tidak mungkin takdir dapat dihentikan seperti roda. *** Di hadapanku terdapat sebuah merry-go-round. Berkarat sudah ia disebabkan tidak dijaga bertahun lamanya. Taman ini sudah lama ditinggalkan dek masalah-masalah yang disembunyikan oleh pihak pengurusan. Sengaja aku berjalan di taman yang agak besar ini untuk menghidu udara yang telah lama aku rindukan. Masih segar dalam ingatan, dulu aku selalu bermain di atas roda ini. Aku tersengih apabila mengingati masa lampau. Tiba-tiba, tatkala aku berpaling membelakangi merry-go-round, ia mula berpusing. Aku fikir, mungkin kerana angin, tetapi tiada angin yang lalu. Lagi pula, ia telah lama berkarat membuatkannya susah untuk berpusing. Suara seorang budak kecil mula kedengaran seolah dia sedang bermain di atas roda itu. Aku bingung. Aku berpaling ke arah merry-go-round itu secara perlahan-lahan. Rasa takut mula menyelubungi lohong jiwa, tetapi aku ingin melihat. Sebaik sahaja aku berpaling, aku melihat…. *** Di hadapanku terdapat sebuah merry-go-round. Berkarat sudah ia disebabkan tidak dijaga bertahun lamanya. Taman ini sudah lama ditinggalkan dek masalah-masalah yang disembunyikan oleh pihak pengurusan. Sengaja aku berjalan di taman yang agak besar ini untuk menghidu udara yang telah lama aku rindukan. Masih segar dalam ingatan, dulu aku selalu bermain di atas roda ini. Aku tersengih apabila mengingati masa lampau. Sekejap! Apa yang telah berlaku? Adakah ini deja vu? Suasana ini, aroma ini, langkah ini, sepertinya telah berlaku. Suara budak kembali bermain di telinga. Aku berpaling untuk melihat pemilik suara itu dan sebaik sahaja menoleh, aku melihat…. *** Di hadapanku terdapat sebuah merry-go-round. Berkarat sudah ia disebabkan tidak dijaga bertahun…. Tidak! Apa yang sebenarnya berlaku? Kenapa aku terbangun di titik yang sama? Sampai ke hari ini, aku masih belum menemukan jawapan atas apa yang berlaku. Kenapa ia berputar seperti roda dan kenapa aku masih di jalan yang sama? Namun, aku mempunyai satu teori. Dan teori itu membawaku kepada beberapa ranting persoalan. Mengapa? Atas sebab apa? Aku masih buntu. Tetapi setiap kali ia berputar kembali, aku mula tahu bahawa aku masih dibuai penyesalan yang tidak dapat aku lepaskan. Setiap kali ia berputar, aku belajar cara untuk meleraikan persoalan yang tersimpul. Aku mula mencari cara untuk terus hidup, walaupun ia tetap akan membawaku kepada titik permulaan yang sama. Mungkin di situlah aku harus bermula, walaupun ia permulaan untuk kali ke seratus. Pada akhirnya, mereka semua melangkah. Tetapi, tidak diriku.
😢 👍 😮 ❤️ 😂 🤔 🗿 🙏 🫥 154

Comments