Cereka

Cereka

291.4K subscribers

Verified Channel
Cereka
Cereka
June 17, 2025 at 12:35 PM
*Rama Dan Syawal* _oleh Dinnaz_ Syawal duduk di tangga rumah dengan kaki terjuntai, memerhati jiran barunya yang sedang mengangkat barang dari lori. Matanya teralih pada seorang budak lelaki sebayanya yang sedang berdiri di depan rumah itu. Apabila pandangan budak itu terhala padanya, Syawal pantas melambaikan tangan. “Hei, kau nama apa?” tegur Syawal apabila budak itu berjalan menghampirinya setelah ditolak-tolak seorang wanita India. ‘Mungkin mak dia,’ fikir Syawal. “Rama,” jawab budak itu. Sekali-sekala dia menjeling pada ammanya. Wanita itu hanya tersenyum dan melambai kecil. “Rama? Wah, nama kau macam Ramadan! Kebetulan esok Ramadan!” Mendengarkan bicara Syawal, dahi Rama berkerut. “Rama… dan?” Syawal ketawa kecil. “Ramadan tu bulan puasa!” “Puasa?” tanya Rama lagi. Syawal mengangguk. “Tak makan, tak minum, tak buat benda-benda yang salah. Lepas sebulan tu, ada raya!” “Kalau tak puasa, tak boleh raya ka?” tanya Rama yang agak tertarik dengan perkataan raya itu. Dia tahu raya itu apa. Raya itu seperti Deepavali! Syawal terdiam. Dia menggaru kepalanya. Dia pun tak tahu nak jawab apa. Baru sahaja dia mahu menjawab, Rama terlebih dahulu membuka mulut. “Aku mahu cubalah itu puasa!” Syawal terkejut. “Hah? Kau nak puasa?” *** “Rama, makan dulu. Amma masak kari daging.” Walaupun Rama mendengar panggilan amma, dia hanya duduk diam di ruang tamu itu. Amma menjenguk dari pintu dapur. Hairan bila anak bujangnya tidak menyahut. Selalunya cepat sahaja Rama berlari ke dapur jika disebut tentang makanan. “Rama?” panggilnya. Rama menggeleng kepalanya. “Amma, saya puasa.” Amma menayangkan wajah terkejut. “Aiyo, puasa? Kenapa pulak?” “Sebab Rama nak raya! Jadi kena puasa!” Jawapan Rama membuatkan amma tersengih. “Kalau tak tahan, jangan paksa diri ah?” Rama mengangguk bersungguh-sungguh. “Saya mahu cuba sampai habis!” Itu kata Rama, namun apabila amma memasak vadai pada keesokan harinya, dia kalah dengan kata-kata sendiri. Maka, dia terduduk di tangga rumah itu bersama Syawal. Tangannya menekup muka, lagak seseorang yang mempunyai masalah besar. “Macam mana nak raya ni….” Syawal menepuk perlahan bahu Rama. “Janganlah risau! Abang aku kata tak puasa pun boleh rayalah! Kitakan satu Malaysia.” Rama mengangkat wajahnya pada Syawal. “Betul ka aku boleh raya?” “Mestilah! Jom, tengok mak aku buat ketupat.”
❤️ 👍 😂 🥹 😮 🙏 🫶 😆 😍 225

Comments