Cereka

Cereka

291.4K subscribers

Verified Channel
Cereka
Cereka
June 18, 2025 at 06:00 AM
*Bunyi* _oleh Khairunnisaq_ Setiap kali pulang sekolah agama jam 6.30 petang, aku akan lalu sebuah lorong yang agak suram, dan jarang dilalui orang. Aku pula jalan kaki. Bukan sebab tak ada orang nak hantar dan ambil, tapi aku memang suka jalan kaki. Sesekali, aku akan jalan bertemankan kawan-kawan, tapi lebih kerap sendiri. Saban hari, apabila aku tiba di lorong itu, akan kedengaran bunyi merdu gesekan biola. Aku tak tahu dari mana bunyi itu datang, namun ia terus-terusan melagukan melodi indah setiap hari pada waktu yang sama. Kawan aku cakap, bunyi itu datang dari rumah kosong di lorong tersebut. Ada juga yang mengatakan bahawa gesekan biola itu dimainkan oleh hantu. Jujur, merinding juga aku mendengarnya. Aku pun tak tahu sama ada nak percaya ataupun tidak. Daripada terus bersangka-sangka, aku ambil keputusan untuk tanyakan hal ini kepada ayah. “Oh, itu bukan hantu! Itu anak Uncle Chong. Dia dikurung dekat bilik yang dekat dengan lorong tu.” “Kurung? Kenapa dia kena kurung, yah?” “Ayah pun tak tahu sangat sama ada dia dikurung atau dia yang kurung diri sendiri. Tapi Uncle Chong cakap, dia yang bagi biola tu supaya anak dia tak bosan duduk situ. Dulu, dia cuma buat bunyi-bunyi bising je. Hari tu, ayah lalu situ juga. Dah sedap dia main biola.” “Ayah pernah nampak dia ke?” Ayah aku angguk. “Dulu, masa dia kecil. Muka dia… lain.” “Tapi….” “Sudah, Intan. Jangan campur urusan orang. Kita pun tak kenal sangat Uncle Chong tu.” Aku tertunduk.
😮 👍 😢 ❤️ 😂 🗿 🤔 🧐 🙀 😬 160

Comments